Piston.my

JPJ Rekod 107,014 Kesalahan Trafik Sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merekodkan sebanyak 107,014 kesalahan trafik sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025, yang berlangsung dari 20 Januari hingga 4 Februari. Sepanjang operasi ini, pihak berkuasa telah memeriksa 429,423 kenderaan, dengan 724 daripadanya dirampas.

Antara kesalahan paling kerap direkodkan adalah cukai jalan tamat tempoh dan ketiadaan insurans sah, dengan 29,994 kes dicatatkan. Selain itu, sebanyak 20,414 kes melibatkan pemandu tanpa lesen sah, manakala 15,610 pelanggaran teknikal turut dikesan, termasuk isu berkaitan tayar dan sistem brek.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menegaskan kepentingan pemilik kenderaan untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan. Menurut beliau, kesalahan-kesalahan ini bukan sahaja berisiko kepada pemandu sendiri tetapi juga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Penurunan Ketara Kesalahan Berbanding Tahun Sebelumnya

JPJ turut melaporkan penurunan ketara dalam jumlah notis yang dikeluarkan berbanding tahun sebelumnya. Pada 2024, sebanyak 207,127 notis direkodkan, namun angka ini menurun pada 2025. Pengurangan ini dipercayai hasil daripada usaha penguatkuasaan yang lebih ketat serta peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. JPJ melihat perkembangan ini sebagai satu langkah positif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Tindakan Terhadap Kenderaan Barangan

Dalam operasi tersebut, JPJ turut menguatkuasakan larangan terhadap kenderaan barangan pada tarikh 27-28 Januari dan 1-2 Februari bagi memastikan kelancaran trafik sempena musim perayaan. Namun, masih terdapat kenderaan komersial yang ingkar, mengakibatkan 21 penahanan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu, 140 notis JPJ P22 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain.

Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), PLUS Malaysia Berhad, dan Agensi Antidadah Kebangsaan (NADA). Pihak berkuasa menegaskan bahawa mereka akan terus mengambil langkah tegas bagi memastikan keselamatan jalan raya terjamin, terutamanya ketika musim perayaan.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan