Piston.my

Dua Model Flagship Volvo Tujuh Tempat Duduk Bakal Tiba Tidak Lama Lagi

Volvo Car Malaysia mengumumkan ketibaan dua model yang dinanti-nantikan oleh peminat SUV (kenderaan utiliti sukan) flagship tujuh tempat duduk Volvo.

Volvo EX90 telah disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia, bersama Volvo XC90 facelift yang diumumkan tahun lalu. Kedua-dua model ini akan tersedia untuk pembelian tempatan dalam masa yang terdekat, dengan tarikh pelancaran bakal  diumumkan melalui laman web rasmi Volvo Car Malaysia.

Volvo EX90 serba elektrik pertama kali diumumkan pada tahun 2022 dan direka untuk menjadi Volvo paling selamat yang pernah dihasilkan. Ia dilengkapi dengan teknologi keselamatan aktif di dalam dan di luar kenderaana. Sebagai model Volvo yang tercanggih setakat ini, Volvo EX90 bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan kemalangan, tetapi juga untuk mengelakkannya sama sekali.

Model ini menjadi perintis dalam banyak aspek, termasuk sebagai Volvo pertama yang dilengkapi dengan teknologi lidar, model pertama yang dibina menggunakan Superset core computing tech stack Volvo Cars, serta model pertama yang disiapkan dengan perkakasan untuk pemanduan autonomi sepenuhnya di masa hadapan.

Penghantaran global kepada pelanggan bagi Volvo EX90 telah bermula pada akhir tahun 2024, dan Malaysia akan menjadi antara pasaran pertama di Asia Pasifik yang memperkenalkan model baharu ini selepas Thailand.

Sementara itu, Volvo XC90 baharu telah didefinisikan semula untuk era elektrifikasi. Sebagai kenderaan plug-in hybrid pertama yang dipasang secara tempatan di Malaysia pada tahun 2016, Volvo XC90 adalah ikon moden yang terkenal sebagai kenderaan elektrik dengan pelan sandaran yang sesuai untuk sebarang cabaran kehidupan.

Kedua-dua model flagship ini–Volvo EX90 dan Volvo XC90 baharu, menawarkan jarak pemanduan yang luar biasa dan kepraktisan tinggi bagi keluarga yang mengutamakan keselamatan, tanpa mengira tahap elektrifikasi yang mereka inginkan. Volvo EX90 bakal menjadi model utama dalam barisan kenderaan elektrik Volvo, termasuk Volvo EX30, Volvo XC40 Recharge Pure Electric, dan Volvo EC40 (sebelumnya dikenali sebagai Volvo C40 Recharge Pure Electric).

Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, berkata, “Tidak kira sama ada anda mahukan teknologi keselamatan terbaik dalam kenderaan elektrik sepenuhnya, atau ingin menaik taraf kepada versi terkini SUV ikonik kami yang telah meraih pelbagai anugerah, pilihlah model flagship ‘90’ yang sesuai dengan kehidupan dan gaya hidup anda.”

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan