Piston.my

Proton Mencatat Rekod dengan Penghantaran 1,000 Unit e.MAS 7

PRO-NET, anak syarikat pengeluar kereta nasional Proton, dengan bangganya mengumumkan penghantaran unit ke-1,000 e.MAS 7, kenderaan elektrik (EV) pertama jenama ini. Pencapaian ini mencerminkan peningkatan pesat dalam penerimaan EV di Malaysia serta komitmen Proton untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses oleh semua masyarakat.

Menghargai Kepercayaan Rakyat Malaysia

Sambutan luar biasa terhadap kenderaan elektrik e.MAS 7 ini membuktikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap visi Proton ke arah menuju mobiliti lestari. Sejak pelancarannya oleh Perdana Menteri YAB Anwar Ibrahim, e.MAS 7 semakin mendapat tempat dalam pelbagai golongan pengguna, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap EV sebagai kenderaan yang praktikal dan pilihan kereta masa depan.

Kejayaan PRO-NET bukan sekadar menghantar kenderaan, tetapi juga memastikan peralihan yang lancar kepada pemilikan EV. Tarikan utama e.MAS 7 terletak pada harga yang mampu milik, praktikaliti, dan ekosistem yang komprehensif bagi menyokong pengguna sepanjang perjalanan EV mereka. Ciri utama seperti Peta Pengecasan Langsung yang lebih daripada 2,000 point pengecasan di seluruh negara, infrastruktur pengecasan yang mudah diakses, serta ciri keselamatan dan sambungan rangkaian terkini yang canggih. Ekosistem ini membolehkan pelanggan merasai teknologi mobiliti elektrik dengan lebih mudah dan penuh keyakinan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa 58% pembeli bersetuju e.MAS 7 sebagai pilihan yang berbaloi dengan harganya, manakala 51% menghargai ruangnya yang luas dan kesesuaiannya untuk kegunaan harian. Selain itu, 38% tertarik dengan ciri keselamatan canggih, termasuk ADAS Tahap 2 dan keupayaan pemanduan semi-autonomi, sementara 39% menyatakan bahawa Peta Pengecasan Langsung menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan mereka.

Permintaan yang Tinggi dan Pertumbuhan Pegangan Pasaran

“Kejayaan e.MAS 7 mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan solusi EV yang menarik dan selari dengan keperluan pengguna di Malaysia. Matlamat kami bukan sekadar menjual kereta, tetapi membangunkan ekosistem lengkap yang memastikan peralihan ke mobiliti elektrik berjalan lancar dan penuh keyakinan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Dengan lebih daripada 4,500 tempahan diterima dan permintaan yang terus meningkat, PRO-NET yakin untuk mendapatkan 6,000 tempahan tidak lama lagi terutamanya dengan lanjutan pakej kuasa pelancaran khas yang menawarkan harga eksklusif kepada pengguna awal. e.MAS 7 juga telah menguasai 25% bahagian pasaran EV tempatan, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen EV yang semakin berkembang di Malaysia. Hal ini, sekali gus membuktikan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia bersedia menerima EV apabila ditawarkan pengalaman pemilikan yang mudah diakses dan disokong dengan baik.

EV Selari dengan Gaya Hidup Rakyat Malaysia

Lebih ramai rakyat Malaysia kini mengiktiraf akan kepentingan peralihan ke kenderaan elektrik, bukan sahaja untuk kelestarian, tetapi juga untuk praktikaliti dalam kehidupan seharian mereka. e.MAS 7 terbukti menjadi pilihan yang sesuai untuk gaya hidup rakyat Malaysia, menawarkan nilai yang berbaloi, ruang yang luas, dan ciri bantuan pemandu yang canggih. Dengan kesedaran yang semakin meningkat dan infrastruktur yang semakin berkembang, peralihan ke mobiliti elektrik terus mendapat rentak, mengukuhkan masa depan pemanduan yang lestari dan canggih.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan