Piston.my

Bekas Juara Dunia F1 Terperangkap dalam Tandas Lapangan Terbang

Bekas juara dunia Formula 1, Jacques Villeneuve, mengalami insiden luar biasa ketika berada di Lapangan Terbang Malpensa, Milan, dalam perjalanan ke Australia bagi pembukaan musim perlumbaan. Pemenang gelaran F1 tahun 1997 itu terperangkap di dalam bilik tandas selama kira-kira 30 minit sebelum akhirnya terpaksa menendang pintu untuk meloloskan diri.

Villeneuve berkongsi pengalaman tersebut menerusi laman Instagram miliknya, memuat naik gambar dirinya di dalam bilik tandas yang berwarna kelabu dengan wajah yang kelihatan tenang. Menurutnya, dia telah terperangkap selama hampir 20 minit sebelum pihak keselamatan lapangan terbang tiba untuk membantu, namun gagal membebaskannya.

Dalam nada sindiran, Villeneuve menyifatkan pengalaman itu sebagai “sangat mengagumkan,” sambil mendedahkan bahawa tandas tersebut disiram secara automatik setiap 30 saat, menjadikan detik penantiannya lebih tidak menyenangkan.

Ketika masih terperangkap, Villeneuve tetap mengekalkan sikap jenakanya. Apabila ada yang bertanya sama ada insiden itu boleh dijadikan bahan ketawa, dia dengan berseloroh menjawab bahawa ia boleh. Salah seorang pengikut turut membandingkan pengalaman tersebut dengan hari-hari awalnya bersama pasukan British American Racing (BAR), yang terkenal dengan masalah teknikal. Villeneuve membalas sindiran itu dengan menyatakan bahawa BAR “berkerosakan lebih cepat” tetapi tidak pernah membiarkannya terkandas selama itu.

Sementara itu, pelumba lumba Belanda, Tom Coronel secara bergurau bertanya sama ada Villeneuve tahu siapa yang telah menguncinya di dalam tandas. Dengan nada bergurau, Villeneuve ketawa dan mempersoalkan sendiri berapa ramai musuh yang mungkin dimilikinya sebelum Grand Prix pertama musim ini.

Pintu Ditendang, Siling Jatuh

Walaupun menganggap insiden itu sebagai sesuatu yang lucu, Villeneuve turut memikirkan kemungkinan keadaan menjadi lebih sukar bagi kanak-kanak atau individu yang tidak fasih berbahasa Itali sekiranya mengalami situasi yang sama.

Akhirnya, setelah menunggu tanpa sebarang penyelesaian, Villeneuve mengambil tindakan sendiri. Dia menendang pintu dengan kuat sehingga terbuka, namun tindakan itu turut menyebabkan sebahagian siling tandas jatuh atas kepalanya.

Villeneuve kemudian memuat naik gambar kubikel tandas yang rosak akibat kejadian tersebut, menyatakan bahawa ia merupakan permulaan perjalanan yang penuh dengan peristiwa menuju Australia.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan