BMW Malaysia hari ini melancarkan BMW 330Li M Sport Baharu di Malaysia Autoshow 2025, sebagai satu lagi acara dalam sambutan berterusan 50 tahun BMW 3 Series. Dalam pada jenama ini meraikan lima dekad dan tujuh generasi BMW 3 Series, wajah jenama BMW – model jarak roda panjang terbaharu ini menyerlahkan legasi berterusan dalam prestasi dinamik, keselesaan mewah dan teknologi progresif.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata, “BMW 3 Series telah lama menjadi tunjang utama dalam portfolio kami serta simbol identiti jenama BMW. Model ini bukan sahaja menerajui penciptaan segmennya, malah terus berkembang seiring peredaran masa, merentasi tujuh generasi, untuk menjadi kenderaan yang unggul sejajar dengan misi kami dalam memberikan prestasi luar biasa dan keseronokan pemanduan yang tiada tandingan, serta dilengkapi dengan inovasi terbaik. Legasi ini diteruskan pada hari ini dalam satu lembaran baharu, yang jelas terlihat pada model terbaharu – memperlihatkan DNA BMW 3 Series dengan lebih ketara untuk pasaran Malaysia yang moden. Dengan BMW 330Li M Sport Baharu, model ini menjadi lambang sempurna warisan kebanggaan BMW sambil memenuhi jangkaan tinggi pemandu pada hari ini. Didorong oleh prinsip terhadap Keterbukaan Teknologi dan Kuasa Pilihan, BMW 330Li M Sport Baharu mencerminkan usaha berterusan kami dalam inovasi, menerusi tawaran keupayaan digital yang canggih, sistem bantuan moden dan reka bentuk yang sungguh menyerlah.”
Sejak penampilan sulungnya pada tahun 1975, BMW 3 Series telah menjadi lambang keunggulan dalam gaya pemanduan sporty, ketepatan dan inovasi dalam segmen premium. Merentasi tujuh generasi, model ini kekal sebagai penanda aras dalam segmennya untuk dinamik pemanduan dan kemajuan teknologi automotif. BMW 330Li M Sport Baharu meneruskan legasi ini dengan menggabungkan prestasi ikonik bersama keselesaan yang dipertingkatkan serta integrasi digital yang moden. Dengan reka bentuk yang diperbaharui, elemen dalaman yang direka semula dan pelbagai ciri yang ditambah baik, BMW 330Li M Sport Baharu membuktikan bagaimana BMW 3 Series terus berevolusi – iaitu dengan kekal setia pada warisannya sambil menyambut baik masa hadapan mobiliti premium.
Model ini dikuasakan oleh enjin petrol 4-silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 258hp dan tork 400Nm. Dengan prestasi ini, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat, dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 250km/j.
BMW 330Li M Sport Baharu – Legasi Prestasi dan Inovasi yang Diperbaharui
Reka bentuk luaran BMW 330Li M Sport Baharu menampilkan gabungan sempurna antara gaya sporty dan elegan, memperlihatkan rekaan BMW 3 Series yang terus relevan sepanjang zaman. Di bahagian hadapan, kidney grille ikonik dalam kemasan Pearl Chrome kekal sebagai elemen utama yang mengukuhkan penampilan tersendiri model ini. Melengkapkan bahagian hadapan adalah lampu hadapan LED adaptif yang lebih langsing dan meningkatkan tahap penglihatan untuk pemandu, manakala lampu siang pula menyerlahkan profil hadapan yang tajam serta kontemporari. Profil sisi BMW 330Li M Sport mengekalkan siluetnya yang elegan dengan keselesaan tambahan untuk penumpang belakang, hasil daripada jarak roda yang dipanjangkan.
Ruang dalaman BMW 330Li M Sport Baharu menggabungkan kemewahan moden dengan keupayaan digital terkini, menawarkan pengalaman pemanduan yang imersif dan intuitif. Paparan Melengkung BMW menjadi tumpuan utama kokpit, mengintegrasikan paparan instrumen 12.3 inci dan paparan kawalan 14.9 inci secara lancar, yang mana kedua-duanya dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 8.5 terbaharu.
Sistem pintar ini menyediakan antara muka yang intuitif dan mesra pengguna, manakala fungsi QuickSelect memastikan akses pantas kepada ciri hiburan dan navigasi. Panel instrumen mewah turut direka semula dengan saluran udara yang lebih kecil dan kemas, menyerlahkan sentuhan kontemporari serta menyerlahkan suasana premium dalam ruang kokpit. Kemasan galvanik pada elemen kawalan menambah sentuhan eksklusif, menjadikan setiap interaksi dalam kenderaan terasa istimewa. Elemen kristal Crafted Clarity pada penukar gear dan pengawal iDrive menambahkan lagi sentuhan mewah pada ruang kabin. BMW 330Li M Sport Baharu turut dilengkapi sistem bunyi Harman Kardon Surround Sound yang mempunyai 16 pembesar suara, memberikan kejelasan dan kedalaman audio yang luar biasa di seluruh kabin, memastikan pengalaman audio bertaraf kelas pertama untuk setiap perjalanan.
Dengan pengendalian yang tepat, BMW 330Li M Sport Baharu menjamin kestabilan luar biasa, sama ada ketika mengambil selekoh tajam atau memandu di lebuh raya. Dipertingkatkan dengan sistem Kawalan Pemanduan Aktif dengan fungsi Berhenti&Jalan, Bantuan Parkir Plus, serta Petunjuk Tekanan Tayar, pengalaman pemanduan ditambah baik dengan ciri-ciri pintar ini yang mengutamakan keselamatan dan kemudahan.
BMW 330Li M Sport Baharu ditawarkan dalam tiga warna luaran yang menarik perhatian: Carbon Black, M Brooklyn Grey, dan Arctic Race Blue. Warna-warna dinamik ini digandingkan dengan pilihan upholsteri premium yang menyerlahkan lagi keselesaan dan gaya sofistikated. Pelanggan boleh memilih antara Leather Vernasca Mocha atau Leather Vernasca Cognac, yang menambahkan sentuhan elegan pada ruang dalaman kenderaan.
BMW Group Malaysia menetapkan penanda aras baharu dalam pemilikan automotif premium, memberikan definisi baharu terhadap pengalaman pemanduan dengan penuh keyakinan dan ketenangan minda. Relax. We Care mencerminkan komitmen teguh BMW untuk membawakan Sheer Driving Pleasure tanpa gangguan – satu janji bahawa walau apa jua situasi, kami sentiasa bersama anda.
Di bawah inisiatif Relax. We Care, pendekatan menyeluruh 360 darjah terhadap pemilikan BMW disampaikan melalui rangkaian perkhidmatan yang bersepadu. Bermula dengan Komitmen Servis BMW, yang menawarkan penjagaan pakar, ketelusan, dan ketepatan dalam setiap janji temu melalui Perkhidmatan & Khidmat Pelanggan, pelanggan BMW turut dilindungi oleh Penjagaan Proaktif BMW. Perkhidmatan ini menggunakan data sensor masa nyata untuk mengesan potensi kerosakan sesuatu fungsi sebelum ia berlaku, dan memberi amaran kepada pemandu melalui aplikasi My BMW atau iDrive. Ciri ini dipertingkatkan lagi dengan BMW ConnectedDrive, yang mengintegrasikan ketersambungan digital terkini dalam setiap produk BMW, membolehkan kemas kini perisian tanpa wayar dan pengurusan kenderaan masa nyata melalui satu paparan pusat.
Selain itu, program Servis & Pembaikan Inklusif BMW memastikan ketenangan minda dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bersama perlindungan perkhidmatan selama lima tahun atau 100,000km. Bagi Kenderaan Elektrik Bateri, perlindungan perkhidmatan dilanjutkan kepada enam tahun dengan perbatuan tanpa had, dan jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun. Dengan Bantuan Tepi Jalan BMW, pelanggan boleh mendapat sokongan kecemasan 24/7 – termasuk tunda, kereta ganti, dan penginapan hotel sekiranya berlaku kecemasan yang tidak dijangka.
Kempen Kereta Baharu BMW menggabungkan semua perkhidmatan ini untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar dan tanpa kebimbangan sejak hari pertama, membolehkan pelanggan kekal yakin, terhubung, dan dijaga, tanpa mengira situasi.
Tawaran Eksklusif BMW Malaysia di Malaysia Autoshow 2025.
Bersempena Malaysia Autoshow 2025, BMW Malaysia menawarkan tawaran eksklusif untuk program Servis Inklusif BMW sehingga 31 Mei 2025.
Untuk tempahan yang dibuat antara 1 Mei hingga 31 Mei 2025, pelanggan akan menikmati lanjutan Servis Inklusif BMW percuma selama satu tahun, bersama Subsidi Insurans Motor Komprehensif Tahun Pertama Easy Drive bernilai RM 5,000. Tawaran ini tersedia untuk model-model terpilih BMW 3 Series, BMW 5 Series, BMW 7 Series, dan BMW X, yang direka untuk meningkatkan pengalaman Pemilikan Premium, memastikan ketenangan fikiran dan perjalanan yang lancar untuk pemilik BMW baharu.
Para pengunjung boleh meneroka rangkaian kenderaan BMW Group Malaysia serba baharu dan model premium lain di MAS 2025 di Hall A2, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dari 9 hingga 15 Mei 2025 untuk berpeluang menikmati promosi eksklusif ini.