Audi terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen kenderaan elektrik berprestasi tinggi dengan pelancaran model terbaharunya, Audi e-tron GT quattro. Model ini merupakan tambahan terkini dalam barisan saloon elektrik Gran Turismo Audi, menyertai barisan sedia ada seperti S e-tron GT, RS e-tron GT dan RS e-tron GT performance.
Ditawarkan sebagai pintu masuk baharu ke dunia e-tron GT, model ini menampilkan gabungan harmoni antara prestasi dinamik, kepraktisan harian, dan reka bentuk mewah gaya Gran Turismo.
Dikuasakan oleh sistem dwi-motor elektrik, e-tron GT quattro mampu menjana kuasa setinggi 496hp, dengan peningkatan sementara mencecah 576hp menerusi fungsi Launch Control. Bateri berkapasiti 105 kWj (97 kWj boleh digunakan) memberikan anggaran jarak sehingga 622 kilometer dengan sekali cas, menjadikannya sesuai untuk pemanduan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Model ini turut menyokong pengecasan pantas arus terus (DC) sehingga 320 kW, membolehkan penambahan jarak sekitar 285 kilometer dalam masa hanya sepuluh minit di bawah keadaan optimum. Sistem pengurusan haba pintar akan secara automatik memanaskan atau menyejukkan bateri apabila kereta menghampiri pengecas berkuasa tinggi, memastikan prestasi pengecasan maksimum dengan masa menunggu yang minimum.
Dari segi penampilan, e-tron GT quattro mengekalkan identiti Gran Turismo Audi dengan jarak roda panjang, siluet bergaya coupe, dan penggunaan roda bersaiz besar. Reka bentuk aerodinamiknya turut diperhalusi dengan pekali seretan serendah 0.24, disertai pengambilan udara adaptif yang bukan sahaja membantu menjimatkan tenaga, malah mengurangkan kebisingan semasa pemanduan.
Bahagian hadapan menonjolkan gril Singleframe berwarna badan yang dibingkai dengan kemasan hitam berkilat, manakala bahagian belakang dilengkapi penyebar bersepadu bersama sirip menegak yang menambah elemen sporty kepada reka bentuk keseluruhan.
Di ruang dalaman, tumpuan diberikan kepada keselesaan dan kepraktisan. Susun atur bateri di bawah lantai menyediakan ruang kaki tambahan, terutamanya untuk penumpang belakang. Tempat duduk hadapan jenis sukan dengan pelarasan lapan hala serta sandaran kepala bersepadu direka untuk menyokong keselesaan semasa perjalanan jauh. Ruang bagasi belakang berkapasiti 405 liter boleh ditingkatkan dengan lipatan tempat duduk belakang, manakala ruang simpanan tambahan 77 liter turut disediakan di bahagian hadapan.
Sistem pacuan semua roda quattro generasi terkini Audi memastikan pengagihan tork yang tepat dan pantas mengikut keadaan jalan serta input pemandu. Ini memberikan cengkaman dan kestabilan maksimum dalam pelbagai situasi pemanduan. Menariknya, model baharu ini kira-kira 30 kilogram lebih ringan daripada S e-tron GT, sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasi dan kecekapan keseluruhan.
Audi e-tron GT quattro kini sedang dalam fasa produksi di kilang berteknologi tinggi Böllinger Höfe Audi Sport GmbH di Neckarsulm, Jerman — lokasi sama di mana versi berprestasi tinggi RS turut dihasilkan.
Tempahan untuk model ini telah dibuka di pasaran Eropah, dengan harga permulaan ditetapkan pada €108,900 (sekitar RM522,393).