Piston.my

Jualan Kenderaan Elektrik Melonjak Walaupun Ketegangan Perdagangan Global

Jualan kenderaan elektrik (EV) global dijangka kekal berada pada trajektori pertumbuhan positif tahun ini, meskipun berdepan cabaran geopolitik dan pengenaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat, demikian menurut Laporan Tahunan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Laporan itu mendedahkan bahawa menjelang akhir tahun 2025, satu daripada setiap empat kenderaan yang dijual di seluruh dunia akan terdiri daripada kenderaan elektrik, mencerminkan perubahan ketara dalam trend pemilikan kenderaan serta daya tarikan terhadap kos operasi jangka panjang yang lebih rendah.

Ketua Pengarah IEA, Dr. Fatih Birol, berkata sektor EV kini berada pada landasan kukuh dalam laluan pertumbuhan global. Beliau menjangkakan bahawa menjelang 2030, lebih 40 peratus daripada jualan kereta global akan terdiri daripada model elektrik.

“Gabungan kemampuan, dasar kerajaan yang menyokong serta kemajuan teknologi telah mempercepatkan penggunaan EV di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Statistik tahun 2024 menunjukkan lonjakan permintaan yang memberangsangkan, dengan jumlah jualan EV global – termasuk model hibrid plug-in – mencecah lebih 17 juta unit, meningkat lebih 3.5 juta unit berbanding tahun sebelumnya. Pada suku pertama 2025 sahaja, jualan EV melonjak sebanyak 35 peratus tahun ke tahun, dan dijangka melepasi angka 20 juta unit bagi sepanjang tahun ini.

China kekal sebagai peneraju dalam revolusi kenderaan elektrik global, menyumbang hampir dua pertiga daripada jumlah jualan EV dan lebih 70 peratus pengeluaran global. Malah, di pasaran domestiknya, harga EV kini berada di bawah paras harga kenderaan berenjin pembakaran dalaman, walaupun tanpa subsidi kerajaan.

Sebaliknya, pengguna di negara-negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat masih berdepan premium harga antara 20 hingga 30 peratus apabila memilih EV berbanding kenderaan konvensional, menyebabkan kadar penggunaan EV di pasaran tersebut lebih perlahan.

Menurut IEA, hampir separuh daripada keseluruhan kenderaan yang dijual di China pada tahun ini dijangka merupakan kenderaan elektrik, meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pasaran baru muncul di Asia, Amerika Latin dan Afrika turut menunjukkan pertumbuhan yang pesat. Jualan EV di rantau-rantau ini melonjak lebih 60 peratus pada tahun lalu, didorong oleh dasar kerajaan yang mesra EV serta kemasukan model-model mampu milik daripada pengeluar China.

Dalam menghadapi halangan perdagangan antarabangsa, syarikat-syarikat automotif China dilaporkan sedang memperluas operasi pengeluaran di luar negara, khususnya di pasaran membangun. Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap eksport serta mengelakkan kos duti import yang tinggi.

Namun, IEA turut memberi amaran bahawa peningkatan tarif dalam persekitaran ekonomi global yang perlahan boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada pasaran EV, tetapi juga terhadap jualan kenderaan tradisional.

Meskipun begitu, sektor EV China dijangka kekal berdaya tahan berikutan kombinasi harga yang kompetitif, inovasi teknologi dan sokongan kukuh daripada kerajaan tempatan.

Laporan IEA itu menutup penilaiannya dengan menyatakan bahawa EV kini menyumbang hampir 20 peratus daripada jumlah perdagangan kenderaan global, memperkukuh lagi kedudukan teknologi ini sebagai tonggak utama dalam masa depan mobiliti dunia.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan