Piston.my

Volvo Kembali Menganjurkan Kejohanan Padel Terbesar di Malaysia

Volvo Car Malaysia sekali lagi menerajui penganjuran sukan padel di negara ini menerusi Volvo Padel Open 2025, yang kembali dengan format pertandingan lebih menarik, penambahan kategori baharu, serta tumpuan khusus kepada pemain-pemain baharu. Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Volvo dalam menyokong pertumbuhan komuniti padel tempatan yang semakin aktif dan dinamik.

Sebagai kejohanan padel terbesar di Malaysia, Volvo Padel Open 2025 akan berlangsung pada setiap hujung minggu dari 21 Jun hingga 27 Julai 2025, dengan sasaran sehingga 320 penyertaan. Kejohanan ini terbuka kepada pelbagai peringkat kemahiran — daripada mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan padel, hinggalah ke pemain berpengalaman yang telah menyertai kejohanan serantau.

Pengarah Operasi Pemasaran & Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata: “Volvo telah menjadi sinonim dengan sukan padel di Malaysia. Volvo Padel Open bukan sekadar kejohanan; ia adalah manifestasi nilai-nilai teras kami — keterangkuman sosial, semangat komuniti, inovasi dan teknologi. Kami berbangga untuk terus menjadi pemacu utama dalam pembangunan sukan ini.”

Tambah beliau, “Sejak penganjuran edisi terdahulu, kami telah melihat pertumbuhan ketara dalam kalangan pemain tempatan. Tahun ini, kami meluaskan lagi inisiatif kami dengan memperkenalkan klinik latihan padel percuma bersama jurulatih profesional, lebih banyak masa permainan untuk pemain baharu, serta hadiah dan penajaan yang lebih menarik.

Padel, yang berasal dari era 1960-an, kini diiktiraf sebagai antara sukan yang paling pesat berkembang di dunia dengan lebih 25 juta pemain merangkumi 110 negara. Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan semula rakan kelab padel terdahulu — Padelground dan PadelKu — serta kerjasama baharu bersama Joy Division Padel. Peserta yang mendaftar bakal menikmati pelbagai faedah termasuk klinik latihan percuma sebelum kejohanan, kit sukan edisi khas Volvo, akses eksklusif ke perlawanan akhir, serta layanan istimewa di lokasi kejohanan.

Sean U’ren-Szeto, Pengurus Besar Joy Division Padel, menyatakan: “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dalam Volvo Padel Open. Kami melihat potensi besar dalam kalangan pemain tempatan dan komited untuk membina bakat melalui latihan yang kompetitif serta pendedahan ke peringkat lebih tinggi.”

Thomas Ryard, Pengarah Bersama Padelground, menambah: “Sejak penganjuran pertama Volvo Padel Open, kami menyaksikan pertumbuhan positif dalam komuniti padel. Elemen sosial dan gaya permainan padel yang inklusif menjadikannya pilihan utama dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang — daripada atlet aktif hinggalah ke komuniti sosialit.”

Charl Hermus Marais, Pengarah Operasi PadelKu, pula berkata: “Sebagai rakan strategik sejak edisi pertama, kami menyaksikan peningkatan ketara dalam mutu permainan tempatan. Tahun ini, kami akan terus menyokong pembangunan bakat melalui latihan profesional di tiga lokasi termasuk cawangan terbaharu kami di Megah, Petaling Jaya.”

Pendaftaran Volvo Padel Open 2025 akan dibuka dari 3 Jun hingga 3 Julai 2025, atau sehingga slot penyertaan penuh.

Untuk maklumat lanjut mengenai Volvo Padel Open, layari www.volvocars.com/my

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan