Piston.my

Proton Menjana Peningkatan Jualan Tiga Bulan Berturut-Turut

Proton menutup bulan Mei dengan mencatatkan 13,328 unit terjual (domestik, eksport, smart, Proton e.MAS), 6.1% lebih tinggi berbanding Mei 2024, peningkatan jualan bulan ketiga berturut-turut. Untuk tiga bulan terakhir (Mac-Mei), jualan tahun ke tahun telah meningkat sebanyak 10% untuk jualan  tahun hingga kini (YTD) sebanyak 61,087 unit. Peganganan pasaran bulan Mei pula dijangka berada di 19.2%  daripada anggaran Jumlah Industri (TIV) sebanyak 69,495 unit dengan pegangan pasaran YTD juga dianggarkan sebanyak 19.2%. 

Pemacu volum tahun ini termasuk Proton X50 dan Proton X70, yang telah mencatatkan jualan laris sejak pengenalan varian diperbaharui pada tahun lalu. Jualan eksport yang kukuh juga memberi sumbangan, kini  36.6% lebih tinggi daripada 2024, manakala Proton e.MAS 7 mendahului jualan EV untuk bulan kelima berturut-turut pada Mei, sambil mencatatkan jualan melebihi 900 unit buat pertama kali. 

Jualan Proton bulan ini membuktikan prestasi cemerlang dari semua model apabila pembeli memberi respons  positif terhadap usaha promosi yang diadakan di seluruh negara. Dari segi prestasi jualan, Proton X70 mencatat  peningkatan paling ketara apabila jualan naik sebanyak 44% dan menutup bulan dengan 982 unit. Dengan  prestasi ini, SUV segmen-C itu kini mencatatkan lonjakan 53.1% berbanding jumlah jualan YTD bagi 2024, suatu  tahap yang dijangka kekal kukuh dan berpotensi untuk terus meningkat sepanjang 2025. 

Proton X50 turut mencatat prestasi kukuh dengan tambahan 2,198 unit pada Mei, sekali gus meningkatkan  jumlah jualan YTD kepada 9,704 unit. Jualan ini meletakkannya di kedudukan teratas dalam segmen SUV-B,  selain mencatatkan peningkatan 14.3% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Situasi serupa turut dilihat  pada Proton X90, apabila SUV segmen-D premium itu mencatat peningkatan jualan sebanyak 15.5% kepada  224 unit, mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran berkenaan. 

Sementara itu, jualan bagi tiga model sedan Proton meningkat seiring dengan model SUV. Jualan model sedan  segmen-A, Proton Saga, mencapai 5,513 unit pada bulan Mei, peningkatan sebanyak 5.8% berbanding bulan  April. Proton Persona, model sedan segmen-B, mencapai 1,385 unit pada bulan Mei, peningkatan sebanyak  4.3%, dan bagi sedan segmen-C pula, Proton S70 terus mendahului segmen dengan peningkatan sebanyak  2.7% kepada 1,763 unit. Proton Iriz juga telah meningkatkan jualannya pada bulan Mei sebanyak 14.1% kepada  331 unit untuk mengekalkan kedudukannya sebagai hatchback segmen-B yang keempat paling popular di  Malaysia. 

Bagi segmen EV, Proton e.MAS 7 mencapai volum jualan tertinggi baru yang mengukuhkan kedudukannya  sebagai EV terlaris di Malaysia. Sebanyak 916 unit SUV EV premium segmen-C itu telah dijual di pasaran  domestik dan antarabangsa, menandakan kali pertama jualan melebihi 900 unit dan meningkatkan jualan YTD  kepada 3,632 unit. 

“Selepas permulaan perlahan pada awal tahun 2025, jualan Proton telah menunjukkan peningkatan konsisten  dalam tempoh tiga bulan. Peningkatan ini hasil langsung daripada usaha promosi serta daya tarikan kuat pembeli  kereta terhadap barisan model kami yang menawarkan produk bergaya dan berteknologi tinggi yang dijual  melalui rangkaian kedai 3S/4S yang terkemuka dalam industri. Menjelang separuh kedua tahun 2025, Proton  yakin dapat mengekalkan momentum dengan aktiviti seperti pengenalan model baru yang selaras dengan fasa  seterusnya dalam pelan menyeluruh perniagaan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton. 

Dengan jualan model baharu di Malaysia yang hampir mencapai had pasaran, Proton kini menumpukan  sumber untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran antarabangsa. Tahun 2025 menyaksikan pelbagai inisiatif  bagi memperluaskan pasaran di luar negara, bermula dengan pelancaran CKD Proton Saga versi pemanduan  sebelah kiri (LHD) untuk pasaran Mesir serta dua aktiviti mengutamakan e.MAS 7 di Nepal dan Singapura. 

Pada bulan Jun, Proton akan memperkenalkan kenderaan EV di Trinidad & Tobago yang merupakan pasaran  eksport kedua selepas Nepal, yang akan meningkatkan jumlah eksport e.MAS 7 melebihi 233 unit setakat ini.  Model eksport utama adalah Proton Saga dengan 710 unit, diikuti oleh Proton X50 yang telah mencatatkan  peningkatan jualan eksport YTD sebanyak 360% kepada 694 unit. 

“Fokus yang ditumpukan terhadap perkembangan jualan eksport telah mula memberikan pulangan jangka  pendek dengan peningkatan ketara dalam jumlah jualan. Kejayaan menembusi pasaran luar negara memerlukan  komitmen berjangka panjang. Proton yakin akan dapat mencapai matlamat ini dengan pelan yang terstruktur  bagi menguruskan pengembangan syarikat” tambah Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan