Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, hari ini memperkenalkan Ford Mobile Service (FMS), yang bakal mentakrifkan semula khidmat selepas jualan dengan menyediakan kemudahan penyenggaraan profesional dan kerja baik pulih ringan secara terus ke depan pintu pelanggan. Inisiatif ini, yang dimulakan sebagai program perintis di pengedar Ford Ara Damansara, dirangka untuk memperluas dan menyenangkan pelanggan mendapatkan khidmat servis dengan tahap piawaian kualiti tertinggi, tanpa perlu mengunjungi pusat servis.
Direka untuk memberikan fleksibiliti kepada pelanggan, FMS membolehkan pelanggan menempah khidmat juruteknik bertauliah Ford untuk melaksanakan pelbagai perkhidmatan penyenggaraan pada masa dan di lokasi pilihan mereka. Perkhidmatan yang disediakan antara lain termasuk pertukaran minyak enjin, pemeriksaan berbilang titik, penggantian bateri, pertukaran pengelap dan penapis. Semua perkhidmatan disediakan menggunakan alat ganti tulen Ford dan perkakas yang diluluskan oleh pengeluar, menjamin ketenangan fikiran dan prestasi yang diyakini.
Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, berkata, “Kami bersukacita untuk memperkenalkan Ford Mobile Service sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menawarkan kemudahan dan nilai lebih tinggi yang mempertingkatkan pengalaman pemilikan. Inisiatif ini membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat penyenggaraan profesional bagi kenderaan masing-masing dengan tahap keyakinan sama yang diharapkan daripada pusat servis pengedar. Dalam usaha kami terus meningkatkan piawaian perkhidmatan kami yang tinggi, kami tetap memberi tumpuan kepada penyediaan penyelesaian yang memenuhi jangkaan pelanggan kami dari segi kualiti, kebolehpercayaan dan penjagaan yang diyakini.“
Pasukan perkhidmatan kami beroperasi dari Isnin hingga Jumaat yang menawarkan empat slot servis dari jam 9:00 pagi hingga 3:30 petang, manakala Sabtu menawarkan dua slot servis dari 9:00 pagi hingga 11:00 pagi. Caj panggilan akan dikenakan untuk lokasi dalam lingkungan 20 kilometer dari Ford Ara Damansara, manakala caj tambahan akan dikenakan bagi lokasi yang melebihi jarak tersebut. Bermula dari bulan Jun, pelanggan boleh membuat tempahan melalui aplikasi SDM OneGo, yang boleh didapati di Apple App Store dan Google Play Store. Aplikasi ini membolehkan pengguna menjadualkan temu janji, memilih masa pilihan dan lokasi servis serta menguruskan tempahan dengan mudah. Selain itu, pelanggan juga boleh membuat tempahan temu janji melalui Talian Khidmat Pelanggan Ford Ara Damansara di 03-7621 5111.
Sempena dengan pelancaran kemudahan ini, Auto ConneXion kini menawarkan promosi eksklusif untuk tempoh terhad iaitu diskaun bagi yuran tempahan standard, yang akan tersedia sebaik sahaja temu janji dibuka untuk tempahan. Tawaran pengenalan ini menggalakkan pelanggan untuk menikmati kemudahan dan kecekapan tambahan daripada FMS.
Setelah diperkenalkan di bilik pameran Ford Ara Damansara, Auto ConneXion bercadang untuk meluaskan FMS secara beransur-ansur ke rangkaian pengedar Ford lain di seluruh negara.
Pelancaran Ford Mobile Service menekankan komitmen berterusan Auto ConneXion kepada inovasi bertumpukan pelanggan, kemudahan menjimatkan masa dan perkhidmatan berkualiti yang dipercayai. Ini menetapkan penanda aras baharu bagi khidmat lepas jualan di Malaysia dengan menawarkan servis yang bukan sahaja profesional dan boleh dipercayai, malah turut memudahkan serta menyenangkan pelanggan.