Piston.my

Maserati Malaysia Melancarkan GranTurismo Folgore dan Grecale Folgore

Inovasi Itali yang penuh gaya kini tiba di Malaysia apabila Maserati memperkenalkan dua model elektrik sepenuhnya yang pertama darinya: GranTurismo Folgore dan Grecale Folgore. Dengan senyap namun penuh karisma, ikon elektrik ini tiba dengan kehadiran yang cukup memukau – menawarkan gaya, kelajuan dan jiwa Trident.

Sebagai jenama mewah Itali pertama yang beralih ke elektrik sepenuhnya, Maserati membuka lembaran baharu dalam prestasi dan keanggunan di jalan raya Malaysia. Kedua-dua model ini mencerminkan dualiti DNA Maserati: GranTurismo Folgore ialah jentera grand tourer yang diukir indah untuk kelajuan dan keheningan, manakala Grecale Folgore menyatukan keanggunan harian dengan prestasi elektrik yang berani. Inilah visi elektrifikasi Maserati – menggoda, bersemangat, dan beridentitikan Itali.

Tiga motor radial memberikan kuasa gabungan 750hp, memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.7 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 325 km/j. Di sebalik luarannya yang anggun, tersimpan bateri 92.5 kWh (83 kWh boleh digunakan), menawarkan jarak pemanduan sehingga 450 km berdasarkan julat diiktiraf WLTP*. Dengan seni bina 800-volt, kenderaan ini mampu menambah julat 100 km dalam hanya lima minit dan mengecas dari 20% hingga 80% dalam hanya 18 minit.

Ruang kabinnya menampilkan sofistikasi minimalis. Teknologi moden bertemu sentuhan kemewahan dalam rekaan dalaman yang mentakrifkan semula makna kembara mewah, sementara kapasiti ruang bagasi 270 liter membuktikan bahawa keindahan tidak perlu mengorbankan praktikaliti.

Dengan harga bermula daripada RM998,800, GranTurismo Folgore mempamerkan estetik Itali yang tak lapuk dek zaman dengan inovasi elektrik berani, di mana kembara mewah ditemukan dengan masa depan.

Grecale Folgore direka untuk mereka yang ingin meluncur anggun merentasi kota di siang hari dan kemudian memburu ufuk senja.

Dikuasakan oleh dua motor untuk jumlah output 549hp, ia membolehkan pecutan 100 km/j dicapai dalam masa 4.1 saat. Mencapai kelajuan maksimum 220 km/j, dengan pemanduan tenang dan penuh keyakinan yang sinonim dengan Maserati.

Dilengkapi bateri 105 kWh, ia menawarkan jarak sehingga 500 km. Pengecasan pantas membolehkan 100 km ditambah semula dalam hanya sembilan minit, manakala pengecas AC 22 kW menyokong pengecasan semalaman yang mudah.

Dengan ruang bagasi seluas 535 liter, Grecale Folgore membuktikan bahawa praktikaliti dan estetik mampu wujud dalam satu rekaan. Setiap perincian dihasilkan dengan penuh ketelitian, menggabungkan prestasi dengan kepelbagaian.

Dengan harga bermula daripada RM588,000, Grecale Folgore menampilkan kehalusan kerja tangan Maserati dalam bentuk elektrik moden, di mana prestasi Itali bertemu keanggunan harian.

Folgore – yang bermaksud kilat dalam bahasa Itali – bukan sekadar nama. Ia adalah percikan elektrik Maserati yang menerangi perjalanan. Dengan ketibaan GranTurismo dan Grecale Folgore, Maserati Malaysia melangkah ke era baharu: ditakrifkan oleh prestasi, reka bentuk, dan jiwa kemahiran Itali.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan