Piston.my

Proton Tingkatkan Pegangan Pasaran Walaupun TIV Menurun Sebanyak 21% Pada Bulan Jun

Separuh pertama tahun 2025 telah berakhir dan Proton telah berjaya meningkatkan pegangan pasarannya dalam pasaran automotif Malaysia. Jualan kumpulan pada bulan Jun  berjumlah 11,069 unit telah menunjukkan peningkatan kecil berbanding bulan yang sama pada tahun 2024.  Sementara itu, jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) dicatat sebanyak 72,156 unit, menjadikannya yang  kedua tertinggi dalam industri. 

Pegangan pasaran Proton bagi bulan Jun dianggarkan berada pada 20.7%, peningkatan sebanyak 1.1%  berbanding bulan sebelumnya dan 1.2% lebih tinggi daripada angka YTD 19.5%. Sebaliknya, Jumlah Volum  Industri (TIV) dianggarkan pada 53,500 unit pada bulan Jun, penurunan sebanyak 21% berbanding angka TIV  68,007 unit pada bulan Mei. 

Salah satu faktor utama pencapaian jualan Proton adalah prestasi kukuh model SUV Segmen-B, Proton X50.  Dilancarkan pada Oktober 2020, lebih 140,000 unit telah terjual di Malaysia dan pasaran luar negara, sekaligus  mengukuhkan kedudukannya sebagai model terlaris dalam kelasnya selama lima tahun berturut-turut. 

Pada Jun 2025, sebanyak 1,657 unit Proton X50 telah berjaya dijual, mengekalkannya posisinya dalam kalangan  semua pesaing dalam kelas tersebut. Jumlah ini merangkumi 353 unit untuk pasaran eksport, di mana model ini  menyumbang 47% daripada jumlah volum eksport. Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 11,361 unit Proton  X50 telah terjual, menandakan peningkatan sebanyak 11.3% berbanding enam bulan pertama tahun 2024. 

Walaupun jualan model semasa kekal kukuh, Proton bakal melancarkan Proton X50 serba baharu pada bulan Julai. Menampilkan gaya yang diubah suai, ruang dalaman baharu, enjin 1.5 i-GT, dan sistem ADAS 2.0, tempahan awal bagi model tersebut telah dimulakan pada 5 Julai. Susulan acara promosi, siri aktiviti akan  berlangsung menjelang pelancaran rasmi model itu pada akhir bulan ini.

Keadaan pasaran yang suram pada Jun menyebabkan jualan lebih rendah berbanding Mei, namun tiga model  Proton berjaya menamatkan bulan tersebut sebagai peneraju segmen. Salah satu daripadanya ialah Proton X50 manakala dua model lagi ialah Proton X90 dan Proton S70, yang terus mendahului pasaran SUV Segmen-D  dan sedan Segmen-C, masing-masing. 

Sebanyak 174 unit X90 dan 1,402 unit S70 telah terjual pada Jun, mengekalkan kedudukan di hadapan pesaing.  Bagi model Proton yang lain, jualan Proton Saga kekal kukuh dengan 5,206 unit, manakala Proton Persona dan Proton Iriz mencapai jualan 1,171 unit dan 288 unit untuk menempatkan diri di tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing. 

Model dengan angka peningkatan jualan tertinggi bagi separuh pertama 2025 ialah Proton X70. Sebanyak 533  unit telah terjual pada Jun menjadikan jumlah enam bulannya kepada 4,354 unit, peningkatan sebanyak 46.3% berbanding angka 2024, dan bukti penambahbaikan yang diperkenalkan dalam model 2025 telah diterima baik  oleh pembeli SUV Segmen-C. 

“Selepas prestasi kukuh pada bulan Mei, jualan automotif menurun sebanyak 15,000 unit pada Jun disebabkan  oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan perluasan skop SST yang menjejaskan  sentimen pembeli. Walau bagaimanapun, Proton berjaya mengatasi prestasi pasaran untuk meningkatkan  peratusan pegangan pasaran kami menjelang separuh kedua tahun yang sibuk, di mana kami mempunyai jadual  penuh dengan acara dan pengenalan model baharu. Dengan model baharu di bilik pameran kami, prospek  syarikat adalah untuk mencapai separuh kedua 2025 yang lebih kukuh sambil kami berusaha meningkatkan  jualan bagi tawaran ICE dan EV,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar. 

Walaupun jualan di pasaran domestik terjejas, bahagian eksport Proton terus melonjak ke hadapan pada  bulan Jun. Sebanyak 414 unit lagi telah dieksport ke pelbagai pasaran luar negara bulan lepas, iaitu 56.8% lebih  banyak berbanding Jun 2024. Ini meningkatkan jumlah eksport dari separuh pertama tahun ini kepada 2,250  unit, mewakili peningkatan sebanyak 39.9%. Jurang ini dijangka akan melebar pada separuh kedua tahun ini  apabila Proton e.MAS 7 dilancarkan di lebih banyak negara pengeksport. 

Proton e.MAS 7, satu-satunya model EV yang terus mengatasi prestasi semua EV lain dan menamatkan separuh  pertama 2025 dengan 4,253 unit terjual di pasaran domestik dan eksport. Dengan 24% pegangan pasaran EV  tempatan, Proton e.MAS bersedia untuk mengembangkan pegangan pasarannya dengan penambahan lebih  banyak model ke dalam barisan produknya pada masa hadapan. 

“Sebahagian besar volum jualan Proton pada masa ini disumbangkan oleh kenderaan ICE domestik, namun  jualan eksport dan EV mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar pada masa hadapan. Kami  meramalkan peningkatan berterusan dalam jualan eksport apabila syarikat meneroka lebih banyak pasaran  baharu. Bagi jualan EV pula, pasaran semakin berkembang apabila lebih banyak infrastruktur diwujudkan dan  merapatkan jurang keyakinan pembeli yang masih ragu-ragu. Oleh itu, kami berharap akan berlaku lonjakan  kuantum dalam jualan dengan pengenalan lebih banyak model Proton e.MAS,” tambah Zhang Qiang, Timbalan  Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan