Kerajaan Negeri Johor sekali lagi menggesa pentadbiran persekutuan supaya mengetatkan undang-undang sedia ada, bagi membolehkan tindakan terus diambil terhadap pemilik kenderaan berdaftar asing yang dikesan membeli petrol bersubsidi RON95.
Menurut laporan NST, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, berkata cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan persekutuan sejak empat bulan lalu. Beliau menjelaskan bahawa mengikut peraturan semasa, penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan terhadap pengusaha stesen minyak, manakala pemandu asing yang melanggar larangan ini kebanyakannya terlepas daripada tindakan undang-undang.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus melobi supaya pindaan dibuat bagi memberi kuasa kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengenakan hukuman secara langsung ke atas pesalah. Perubahan ini, tegas beliau, penting demi melindungi sumber negara dan memastikan undang-undang Malaysia dipatuhi.
Isu ini kembali hangat selepas dua insiden berasingan di Johor baru-baru ini, melibatkan kenderaan berdaftar asing yang didapati mengisi petrol RON95. Kejadian pertama berlaku di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri, manakala kejadian kedua dikesan di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
KPDN Johor telah memulakan siasatan awal, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen terlibat. Lee memaklumkan, hasil siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sebaik selesai.
Perkara ini turut mencetuskan perhatian di media sosial minggu lalu, selepas tersebar gambar seorang lelaki mengisi minyak kereta berdaftar Singapura di stesen Nusa Sentral, sebelum didakwa turut mengisi petrol RON95 ke dalam bekas plastik. Beberapa hari kemudian, tular pula imej sebuah lagi kenderaan berdaftar Singapura sedang diisi bahan api bersubsidi di sebuah stesen minyak di SDE.