Piston.my

Volvo EX60 Baharu akan Memperkenalkan Tali Pinggang Keselamatan Multi-Adaptif Pertama di Dunia

Volvo Cars bakal melancarkan SUV elektrik baharu, Volvo EX60, yang menampilkan teknologi keselamatan revolusioner — tali pinggang keselamatan multi-adaptif, direka untuk menyesuaikan perlindungan mengikut bentuk badan dan situasi sebenar penumpang. Inovasi ini telah diiktiraf oleh majalah TIME sebagai salah satu Ciptaan Terbaik Dunia 2025, menjadikan tahun ini sebagai kali kedua berturut-turut Volvo tersenarai dalam senarai berprestij tersebut.

Berbeza daripada tali pinggang keselamatan konvensional, sistem baharu ini menggunakan sensor pintar di seluruh kenderaan bagi menyesuaikan tahap kekangan secara masa nyata. Ia boleh mengetatkan atau melonggarkan mengikut keadaan individu dan tahap kemalangan. Sebagai contoh, penumpang berbadan besar ketika kemalangan serius akan menerima kekangan lebih kuat untuk perlindungan maksimum, manakala penumpang berbadan kecil dalam pelanggaran ringan akan mendapat cengkaman lebih lembut bagi mengelak kecederaan akibat tekanan berlebihan.

Teknologi ini turut disokong dengan pembelajaran berasaskan data sebenar. Volvo akan terus menambah baik sistem ini melalui kemas kini perisian (software updates) berdasarkan maklumat daripada kemalangan sebenar, memastikan tali pinggang ini menjadi semakin pintar dan berkesan dari semasa ke semasa.

Pencapaian ini menyusul selepas Volvo turut menerima pengiktirafan daripada TIME pada tahun sebelumnya menerusi sistem Driver Understanding, teknologi yang memantau pemandu bagi mengesan tanda keletihan atau gangguan tumpuan — satu langkah penting dalam usaha mencegah kemalangan. Kedua-dua inovasi ini mencerminkan komitmen Volvo dalam membangunkan kenderaan yang bukan sahaja melindungi, tetapi juga berfikir dan bertindak untuk keselamatan manusia.

Volvo EX60 akan menjadi model pertama menampilkan tali pinggang keselamatan pintar ini dan dijadual diperkenalkan secara rasmi pada 21 Januari 2026 di Stockholm, Sweden. Sebagai SUV elektrik sepenuhnya, EX60 akan meneruskan tradisi Volvo dalam menggabungkan teknologi pintar, keselamatan termaju dan kelestarian, memperkukuh reputasinya sebagai peneraju dalam inovasi automotif global.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan