Mercedes-Benz telah memperkenalkan Vision Iconic, sebuah kereta konsep baharu yang memperlihatkan arah masa depan reka bentuk dan teknologi jenama mewah itu. Model ini menggabungkan elemen klasik Mercedes dengan teknologi elektrik serta digital yang moden, menggambarkan evolusi reka bentuk mewah ke arah era elektrik.
Ciri paling menonjol pada Vision Iconic ialah gril hadapan bercahaya, yang diinspirasikan daripada model klasik seperti Mercedes 600 Pullman. Gril ini menampilkan kemasan krom, corak kaca lut sinar, dan lampu terbina di dalamnya, manakala lambang bintang tiga bucu ikonik Mercedes pada bonet turut diterangi cahaya, menyerlahkan gaya futuristiknya.
Badan kereta ini diserlahkan dengan warna hitam berkilat dan lampu utama yang nipis, lengkap dengan kesan pencahayaan khas yang bergerak dari gril hingga ke bonet. Menurut Mercedes, penggunaan cahaya ini bukan sekadar hiasan tetapi bertujuan mencipta reka bentuk yang lebih ekspresif dan beremosi, seolah-olah kereta itu “hidup” di hadapan mata.
Bahagian dalamannya pula menyerupai sebuah ruang istirahat mewah, dihiasi dengan balutan velvet biru lembut, kemasan kuningan berkilau, serta elemen mutiara semula jadi yang memberikan sentuhan eksklusif. Papan pemuka kaca “Zeppelin” menjadi tumpuan utama, sementara sterengnya menempatkan logo Mercedes di dalam bebola kaca, simbol kesenian dan ketelitian reka bentuk. Menariknya, lantai kabin diperbuat daripada jerami buatan tangan, idea reka bentuk yang diinspirasikan daripada gaya tahun 1920-an.
Vision Iconic turut memperkenalkan inisiatif teknologi hijau baharu oleh Mercedes-Benz. Antaranya ialah ujian salutan solar khas yang mampu menjana tenaga elektrik melalui cahaya matahari. Dalam keadaan cuaca yang ideal, teknologi ini berpotensi membolehkan kenderaan menjana tenaga mencukupi untuk perjalanan sehingga 12,000 km setahun tanpa perlu dicas.
Selain itu, Mercedes juga sedang membangunkan kecerdasan buatan jenis baharu dikenali sebagai neuromorphic computing, yang meniru cara otak manusia berfikir. Teknologi ini membolehkan sistem komputer belajar dengan lebih cepat dan menggunakan tenaga dengan lebih efisien — satu langkah penting dalam pembangunan kereta pandu sendiri yang lebih pintar dan selamat pada masa depan.
Dari segi keupayaan pemanduan, Vision Iconic sudah mampu memandu secara automatik pada tahap Level 2, dan dijangka mencapai Level 4 pada masa akan datang, iaitu mampu mengendalikan pemanduan lebuh raya sepenuhnya tanpa campur tangan manusia. Ia juga boleh mencari dan memarkir tempat letak kereta secara automatik. Sistem stereng elektronik sepenuhnya memberikan kawalan yang lebih lancar serta membolehkan pereka bentuk mencipta ruang dalaman yang lebih fleksibel.
Bersempena pelancaran Vision Iconic, Mercedes turut memperkenalkan sebuah buku bertajuk ICONIC DESIGN, yang menerangkan falsafah reka bentuk baharu jenama tersebut. Buku ini menampilkan pandangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Ola Källenius, dan Ketua Reka Bentuk, Gorden Wagener, yang berkongsi visi mereka tentang bagaimana Mercedes akan mengekalkan identiti kemewahan abadi sambil melangkah yakin ke masa depan mobiliti elektrik.








