PRO-NET, anak syarikat Proton peneraju kepada pembangunan mobiliti elektrik, mengumumkan bahawa Proton e.MAS 5, kenderaan elektrik mampu milik pertama di Malaysia, telah menerima 3,000 tempahan, termasuk 1,607 tempahan dalam tempoh 24 jam pertama selepas tempahan dibuka.
Kejayaan awal Proton e.MAS 5 memperkukuh keyakinan pasaran yang telah dibina oleh model terdahulunya, Proton e.MAS 7, yang terus mengungguli carta pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia sepanjang tahun 2025. Sehingga 30 September 2025, jumlah jualan kumulatif e.MAS 7 telah mencecah 6,655 unit, merangkumi 6,212 unit jualan domestik dan 443 unit eksport. Pencapaian ini mengekalkan kedudukan e.MAS 7 sebagai EV No.1 di Malaysia selama sembilan bulan berturut-turut, dengan penguasaan pasaran EV sebanyak 24%.
Dengan kehadiran Proton e.MAS 5 tidak lama lagi, PRO-NET terus memperkukuh komitmennya untuk menawarkan kenderaan elektrik berkualiti dan berteknologi canggih pada harga mampu milik. EV segmen-B ini dijangka dijual pada anggaran harga antara RM60,000 hingga RM80,000, didatangkan dengan ciri, teknologi, dan pengalaman pemanduan yang setanding dengan kenderaan dalam lingkungan harga yang lebih tinggi.
Proton e.MAS 5 direka dengan bentuk luaran kompak segmen-B bagi memudahkan pemanduan dalam bandar dan juga menawarkan ruang dalaman setara segmen-C yang selesa. Ia dilengkapi dengan lantai di bahagian belakang yang rata, bukaan pintu belakang yang lebar, serta ruang simpanan fleksibel untuk kegunaan harian dan perjalanan hujung minggu.
Ciri pintar seperti paparan utama FHD 14.6 inci, sistem operasi ATLAS Auto OS, sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay, serta aplikasi Proton e.MAS App menjadikan pengalaman pemanduan lebih mudah diakses.
Dengan jarak pemanduan WLTP sehingga 325 km, keupayaan pengecasan pantas, serta kos penyelenggaraan dan penggunaan yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan petrol, e.MAS 5 menjadi pilihan ideal untuk pemanduan harian di bandar, perjalanan ke sekolah, dan gaya hidup moden.
Pelanggan yang ingin melihat dan merasai sendiri pengalaman memandu Proton e.MAS 5 EV Mampu Milik Pertama Malaysia boleh mengunjungi bilik pameran Proton e.MAS bermula 17 Oktober 2025. Orang ramai digalakkan untuk menghubungi bilik pameran pengedar yang berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Tempahan Proton e.MAS 5 kini dibuka. Pelanggan boleh mendaftarkan minat melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau terus membuat tempahan di mana-mana 30 pengedar Proton e.MAS di seluruh negara.
Dengan hanya bayaran tempahan RM99, pelanggan layak menikmati tawaran eksklusif kepada pelanggan terawal seperti berikut:
- Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad yang telah diisi dengan RM100
- Rebat RM500 yuran tempahan


