Piston.my

Proton Anjur “Penang Proton One Tank Challenge” Membuktikan Kecekapan Penggunaan Bahan Api Proton S70

Proton baru-baru ini telah menganjurkan “Penang Proton One Tank Challenge” yang menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Seberang Perai  Tengah pada 11 Oktober. Sebagai salah satu rakan strategik penganjuran, syarikat berkenaan mengambil peluang ini untuk mengetengahkan model sedan Proton S70 dengan mencabar para pemiliknya menguji kecekapan penggunaan bahan api serta prestasi pemanduan sebenar kenderaan mereka di jalan raya.

Acara ini turut diadakan seminggu selepas Proton diumumkan sebagai salah satu penaja utama Penang Bridge International  Marathon (PBIM) 2025, di mana para peserta berpeluang memenangi sebuah Proton S70 baharu melalui cabutan bertuah. 

Bertemakan “Pandulah dengan Cekap. Hidup Secara Aktif. Raikan Malaysia”, acara One Tank Challenge ini sejajar  dengan objektif Hari Sukan Negara yang memupuk gaya hidup sihat dan aktif. Para peserta menempuh laluan  sejauh 110km yang merangkumi jalan di pulau, tanah besar serta kedua-dua jambatan yang menghubungkan Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang, seramai 33 orang pemilik Proton S70 mengambil bahagian untuk menguji kemahiran pemanduan berhemah sambil menikmati pengalaman pemanduan yang mengujakan ditawarkan oleh kenderaan mereka.

Dengan penyertaan seramai 33 orang peserta, persaingan untuk merebut hadiah utama amat sengit apabila  semua peserta berusaha mencapai kadar penggunaan bahan api paling minima bagi memenangi hadiah wang tunai yang ditawarkan. Bermula di Setia Sentral Juru, laluan tersebut merangkumi bahagian seberang pulau dan  pulau dengan destinasi ke Bayan Lepas dan George Town melalui Jambatan Pulau Pinang Kedua sebelum kembali ke titik permulaan melalui Jambatan Pulau Pinang Pertama. 

Sebelum memulakan perjalanan, setiap tangki kenderaan diisi penuh bahan api dan penutup tangki dimeterai  bagi memastikan kesemua peserta bersaing secara adil. Faktor penentu kemenangan bergantung kepada  kemahiran peserta mengawal penggunaan bahan api melalui kawalan pedal minyak dan brek yang lancar,  sambil mengekalkan kelajuan purata minimum agar perjalanan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang  ditetapkan. 

Pemenang utama ditentukan berdasarkan catatan penggunaan bahan api terendah (liter/100km), dikira dengan  tepat berdasarkan jumlah bahan api yang diperlukan untuk mengisi semula tangki selepas tiba semula di garisan  penamat. Selain hadiah utama bagi kecekapan bahan api, anugerah turut diberikan bagi kategori penglibatan media sosial terbaik (memaparkan detik menarik bersama Proton S70) serta pertandingan mewarna untuk ahli  keluarga peserta. 

Pada penghujung acara, Abu Bakar Bin Mohd Yusoff diumumkan sebagai juara setelah mencatat penggunaan  bahan api sebanyak hanya 3.48L/100km, bersamaan dengan purata 31.61km/L, yang memberikan jarak pemanduan maksimum secara teori sejauh 1,580km bagi tangki bahan api Proton S70 berkapasiti 50 liter. Atas kejayaan tersebut, beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000. 

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Muhammad Syamim Bin Omar Farook, yang menerima RM800 selepas mencatat 3.98L/100km, manakala Mohd Aliff Bin Sani memperoleh RM600 dengan kadar kecekapan bahan api 4.40L/100km. 

Dengan harga permulaan hanya RM73,800, Proton S70 menawarkan nilai terbaik dalam kelasnya, dilengkapi  enjin 1.5L pengecas turbo berkuasa 150 PS dan tork 226 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar  tujuh kelajuan (7DCT) untuk pemanduan yang responsif dan menyeronokkan.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan