Proton dengan bangganya mengumumkan integrasi fungsi Pengecaman Suara (VR) Bahasa Melayu pada Proton X50 Serba Baharu yang baru sahaja dilancarkan. Inovasi ini tiba tujuh tahun selepas Proton memperkenalkan sistem VR “Hi Proton” dalam Bahasa Inggeris ke pasaran Malaysia. Ciri unik dalam industri automotif ini secara signifikan meningkatkan kemudahan, akses yang lebih mudah, dan keselamatan, sambil pada masa yang sama menyediakan sistem kawalan yang amat intuitif untuk ramai pemandu Malaysia.
Di teras kecanggihan Proton X50 Serba Baharu adalah paparan infotainmen 14.6 inci yang canggih, dilengkapi dengan fungsi VR Bahasa Melayu yang lancar dan sokongan Bahasa Inggeris sedia ada. Keupayaan dwi-bahasa ini jelas meletakkan Proton sebagai pengeluar kereta pertama yang menawarkan fungsi arahan suara sedemikian maju.
‘Aisyah’ Nama Yang Dipilih Untuk Pengecaman Suara Bahasa Melayu Pertama Di Dunia
Diberi nama Aisyah – sebuah figura wanita yang menarik dan mesra, direka untuk dirasai seperti rakan atau ahli keluarga – sistem VR ini dibangunkan dalam tempoh hanya tujuh bulan, tempoh yang lebih singkat daripada perancangan awal projek selama setahun. Pembangunan yang berlangsung dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 ini melibatkan pengumpulan 4,000 variasi arahan Bahasa Melayu, dan sepanjang tempoh yang sama, 4,000 variasi arahan Bahasa Inggeris turut dikumpul.








