Proton telah memulakan separuh kedua tahun ini dengan prestasi yang kukuh apabila jualan kereta di Malaysia kembali melonjak selepas prestasi kurang memberangsangkan pada bulan Jun. Jualan keseluruhan syarikat pada bulan ini adalah 13,518 unit, peningkatan sebanyak 22.1% berbanding bulan sebelumnya. Pencapaian ini mendorong jualan tahun hingga kini (YTD) kepada 85,674 unit untuk tujuh bulan pertama 2025, sekaligus mengukuhkan posisinya di tangga kedua dalam kedudukan jualan nasional.
Pegangan pasaran bagi bulan ini dianggarkan sebanyak 19.2%, dengan angka pegangan pasaran YTD semasa sebanyak 19.3%. Ini merupakan peningkatan 0.6% berbanding keseluruhan tahun 2024, yang mencatat 18.7% untuk setahun penuh apabila jualan kereta Malaysia mencapai tahap jualan tertinggi baharu. Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk Julai dianggarkan pada 70,545 unit, peningkatan sebanyak 28.7% berbanding bulan Jun dan merupakan angka jualan bulanan kedua tertinggi untuk tahun 2025.
Dilancarkan pada 24 Julai, Proton X50 Serba Baharu merupakan pemacu peningkatan volum yang utama bagi syarikat pada bulan lalu. Dengan 999 unit diserahkan dalam tujuh hari terakhir pada bulan tersebut, ia mengakhiri Julai dengan jumlah jualan melebihi 2,000 unit buat kali ketiga pada tahun 2025 dan mencapai angka 2,068 unit.




