UMW Toyota Motor bersama Toyota GAZOO Racing Malaysia telah melancarkan Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025, iaitu siri perlumbaan simulator terbesar di negara ini. Matlamat utama kejohanan ini jelas – mencari pelumba maya terpantas Malaysia dan membuka peluang untuk mereka melangkah ke dunia perlumbaan sebenar.
Memasuki edisi kelapan, kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai GT Cup Malaysia kini tampil dengan penjenamaan baharu dan skala lebih besar. Tahun ini, peserta bukan sahaja akan bersaing di platform Gran Turismo, tetapi juga di RaceRoom, Assetto Corsa dan iRacing, sekali gus menguji kemahiran di pelbagai simulasi perlumbaan. Menariknya, jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan mencecah RM123,000, diagihkan kepada tiga kategori iaitu Pro, Club dan Junior.
Format perlumbaan dijanjikan sengit. Selepas tiga pusingan awal, hanya 40 pelumba terbaik akan mara ke suku akhir. Dari situ, 20 pelumba terpantas akan layak ke separuh akhir, sebelum hanya 10 finalis terbaik berentap di pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.






