iCAUR Malaysia memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan dengan melancarkan Hab Komponen iCAUR, sebuah gudang berpusat yang berperanan menyokong operasi selepas jualan serta mempertingkat keupayaan rangkaian pengedarnya yang semakin berkembang.
Bertempat di Kawasan Perindustrian Hicom, Shah Alam, kemudahan seluas 88,000 kaki persegi ini diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama OMODA | JAECOO Malaysia. Beroperasi sejak Mac 2025, hab ini sedang giat memperluas inventori alat ganti menjelang pelancaran rasmi iCAUR 03 di Malaysia pada suku ketiga tahun ini.
Hab tersebut menyimpan lebih 10,000 unit alat ganti dan komponen yang dipilih dengan teliti, menzahirkan komitmen jenama terhadap kesediaan operasi. Kemudahan ini membolehkan penyediaan perkhidmatan selepas jualan yang pantas dan efisien kepada pelanggan di seluruh negara. Ia dijangka menyokong sekurang-kurangnya 16 pengedar menjelang akhir 2025, dengan pelan pengembangan berterusan ke tahun 2026.
Langkah ini seiring dengan falsafah jenama “Born to Play” yang menekankan kesiapsiagaan sejak hari pertama. Disokong oleh rangkaian pembekalan global yang kukuh, iCAUR Malaysia berhasrat menetapkan penanda aras baharu untuk perkhidmatan selepas jualan premium, selain memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab Pemanduan Tangan Kanan (RHD) di ASEAN.





