Porsche kini bersedia untuk memperkenalkan model baharu 911 Turbo S dalam versi hibrid, menjelang penghujung tahun ini. Langkah ini merupakan sebahagian daripada evolusi terkini dalam barisan generasi 992.2 Porsche 911, dan sekaligus menandakan satu peralihan penting jenama tersebut ke arah teknologi prestasi elektrik yang lebih mapan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Oliver Blume, semasa pembentangan prestasi kewangan syarikat baru-baru ini. Menurut beliau, bukan sahaja model 911 Turbo S akan menerima kemas kini hibrid, malah versi 911 Turbo standard (tanpa label “S”) juga bakal menyusul kemudian.
Sistem hibrid bagi model ini akan menggunakan bateri khas berprestasi tinggi yang dibangunkan oleh V4Drive GmbH, kini dikenali sebagai V4Smart—sebuah syarikat teknologi bateri yang telah diambil alih oleh Porsche. Bateri ini juga telah digunakan dalam model 911 GTS T-Hybrid, dan Porsche kini sedang memperluaskan kapasiti pengeluaran bateri ini bagi memenuhi permintaan untuk barisan 911 hibrid masa hadapan.



