Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), sebuah anak syarikat milik penuh yang ditubuhkan untuk menerajui usaha memperluas pasaran luar negara. Penubuhan ini bertujuan untuk memberikan lebih fleksibiliti dalam menguruskan pasaran antarabangsa. Dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu ini ialah Encik Edmund Lim Meng Thong, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton.
Dengan jualan eksport dikenali sebagai faktor utama pertumbuhan jualan masa hadapan, PICSB dipertanggungjawabkan untuk meluaskan jejak global Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara Selatan Global di samping terus menyelia dan membangunkan usaha jualan serta pemasaran di pasaran luar negara sedia ada.
Model-model Proton kini mendahului jumlah eksport kenderaan di Malaysia dan perancangan jangka panjang syarikat menetapkan peningkatan sepuluh kali ganda dalam jumlah eksport dalam tempoh lima tahun akan datang. Turut hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah pertama yang diadakan pada 14 Julai ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong bersama Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Encik Ainol Azmil dan Ketua Pegawai Kewangan, Pn. Chen Limin.
Megah Mewakili Produk Buatan Malaysia Di Persada Global
Setelah memulakan eksport ke Bangladesh pada tahun 1986, hanya setahun selepas kereta pertama dihasilkan, Proton dengan pantas meluaskan jejak global. Menjelang tahun 1992, Proton telah menjadi francais kereta baharu paling pesat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit. Menjelang awal tahun 2000-an, model model Proton telah berada di 64 buah negara di seluruh dunia. Proton secara strategik mengalihkan tumpuan kepada pasaran serantau berpertumbuhan tinggi seperti ASEAN, China, India, Timur Tengah, dan Afrika Utara.




