Kia Corporation secara rasmi memperkenalkan model terbaharu mereka, Kia EV4, dalam dua varian iaitu saloon dan hatchback menjelang Hari Kia EV kedua. Model ini direka bagi memperluaskan daya tarikan kenderaan elektrik (EV) Kia kepada khalayak yang lebih luas, menggabungkan inovasi reka bentuk serta teknologi canggih bagi memenuhi keperluan pengguna moden.
Reka Bentuk Berinovasi
Reka bentuk Kia EV4 berlandaskan falsafah ‘Opposites United’, yang menggabungkan elemen garisan tajam serta butiran teknikal yang berani untuk mencipta identiti tersendiri dalam segmen EV kompak. EV4 ditawarkan dalam dua bentuk badan berbeza, setiap satunya disesuaikan untuk pelbagai keperluan pemanduan.
EV4 Saloon menampilkan profil aerodinamik dengan hadapan yang anggun, bahagian sisi yang bersih, serta ekor panjang yang memberikan penampilan mewah dan futuristik. Sementara itu, EV4 Hatchback pula lebih kompak dan lincah, dengan reka bentuk dinamik yang sesuai untuk persekitaran bandar.
Ciri-Ciri Reka Bentuk Luaran
EV4 Hatchback
Hatchback EV4 hadir dengan pendirian teguh, ditonjolkan oleh reka bentuk tiang C menegak berwarna hitam yang kontras dengan badan kenderaan. Garisan tajam dan spatbor kukuh menyerlahkan karekter sporty model ini, manakala roda 19 inci yang dimesin memberikan sentuhan premium. Bahagian belakangnya menampilkan lampu belakang lebar serta tingkap condong yang mengukuhkan estetika moden dan berkuasa.





