Ferrari secara rasmi telah melancarkan model terbaharunya, 296 Speciale, sebuah berlinetta berprestasi tinggi yang mewakili evolusi terkini dalam barisan kenderaan hibrid plug-in dengan enjin pertengahan belakang. Model ini tampil sebagai pewaris rohani kepada siri khas V8 ikonik jenama tersebut seperti Challenge Stradale, 430 Scuderia, 458 Speciale, dan 488 Pista.
Di sebalik reka bentuk agresif dan berfungsi, terletak sistem janaan kuasa hibrid yang telah dipertingkat secara menyeluruh. Enjin V6 3.0 liter pengecas turbo berkembar kini menghasilkan 690hp, dipadankan dengan motor elektrik yang dinaik taraf berkuasa 177hp, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan 867hp. Jumlah ini mengatasi kuasa model standard 296 GTB, dan menempatkan 296 Speciale dalam liga tersendiri.
Ferrari mendedahkan bahawa banyak elemen mekanikal jentera ini diambil terus daripada kereta lumba 296 Challenge, termasuk pemetaan enjin, penentukuran baharu, serta penggunaan komponen prestasi tinggi seperti rod penyambung titanium, omboh rekaan baharu, dan aci engkol ringan. Sokongan daripada sistem kawalan ketukan berteknologi Formula 1 pula memastikan kecekapan dan ketahanan maksimum.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi dwi-klac lapan kelajuan Ferrari, dengan strategi penukaran gear yang ditentukan semula bagi memberikan pecutan yang lebih responsif. Sebagai sebuah hibrid plug-in, 296 Speciale kekal praktikal dengan keupayaan pemanduan sejauh 24km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Tersedia dalam dua pilihan – 296 Speciale dengan bumbung tetap dan 296 Speciale A (Aperta) versi boleh buka – kedua-duanya menawarkan prestasi sama, tetapi dengan rejim pengurangan berat badan berbeza. Coupé kehilangan sekitar 60kg, manakala versi Aperta lebih ringan sebanyak 50kg, hasil penggunaan meluas gentian karbon termasuk pada panel pintu, konsol tengah, dan kemasan dalaman.
Secara luaran, 296 Speciale memperlihatkan rekaan semula pada bampar hadapan dan belakang serta peresap belakang yang direka bentuk untuk prestasi aerodinamik tinggi. Sayap belakang aktif memberikan kestabilan tambahan mengikut kelajuan dan mod pemanduan, menjadikan daya turun model ini 20 peratus lebih tinggi berbanding 296 GTB dan GTS. Untuk versi Aperta, tambahan flap khas di belakang kepala membantu mengurus aliran udara dengan lebih efisien serta mengurangkan kekacauan angin dalam kabin.
Sistem penyejukan enjin dan brek turut dinaik taraf, manakala aspek pengendalian pula ditala semula untuk menangani peningkatan kuasa dan aerodinamik. Penggunaan spring titanium baharu memberikan pengurangan berat dan kekakuan lebih tinggi, manakala penyerap hentak adaptif Multimatik yang diambil terus daripada jentera lumba 296 GT3 menjamin kestabilan dalam pemanduan berprestasi tinggi. Tayar Michelin Pilot Sport Cup2 khas pula melengkapkan pakej cengkaman, disempurnakan oleh rekaan roda aloi lima jejari eksklusif.
Ferrari 296 Speciale bukan sekadar sebuah kereta – ia adalah lambang kejuruteraan canggih, hasil pertembungan antara dunia perlumbaan dan mobiliti elektrifikasi masa depan. Ia meneruskan legasi jenama Prancing Horse dalam membina jentera yang bukan sahaja menguja di trek, tetapi juga mengangkat pengalaman pemanduan harian ke tahap baharu.