BYD Sisma Auto meneruskan perluasan rangkaiannya dengan pembukaan rasmi bilik pameran kontemporari di IPC Shopping Centre, Mutiara Damansara — yang kini menjadi cawangan ketiganya di Lembah Klang. Pelancaran yang bermakna ini menjadi penanda aras baharu yang selari dengan dedikasi syarikat untuk menyediakan akses lebih mudah kepada pelanggan terhadap model kenderaan elektrik (EV) canggih BYD.
Terletak di aras bawah (G.29 & GA29) Pusat Beli-Belah IPC, bilik pameran BYD Sisma Auto baharu ini menawarkan suasana yang nyaman dan mempamerkan barisan lengkap kenderaan inovatif elektrik BYD, serta menyediakan peluang pandu uji bagi pengunjung yang ingin mengalami sendiri mobiliti canggih BYD.
Bagi mempertingkatkan lagi pengalaman di bilik pameran tersebut, BYD Sisma Auto bekerjasama dengan Espresso Lab untuk memperkenalkan ruang kopi premium yang menawarkan kopi berkualiti tinggi dan hidangan ringan dalam suasana santai.
Selain bilik pamerannya, pelanggan yang membeli kenderaan BYD akan menikmati sokongan lepas jualan yang menyenangkan di pusat servis canggih BYD di Glenmarie, Shah Alam. Dilengkapi dengan 16 ruang servis, kemudahan canggih berkenaan direka untuk menawarkan penyelenggaraan kenderaan yang menyeluruh bagi memastikan setiap kenderaan BYD berada dalam prestasinya yang terbaik, sentiasa.
Untuk lebih memudahkan pelanggan, BYD Sisma Auto turut menawarkan servis layanan premium, yang menyediakan perkhidmatan untuk mengambil dan menghantar kenderaan untuk diservis terus dari rumah atau pejabat pelanggan.
Pengarah Urusan Sisma Auto Group, Syed Khalil bin Syed Ibrahim berkata, pengembangan strategik ini adalah sebahagian daripada usaha SISMA Auto untuk memperkukuh kehadiran BYD dalam pasaran automotive elektrik Malaysia yang sedang giat berkembang.
“Kami juga teruja untuk mengendalikan tiga cawangan BYD ketika ini, dengan cawangan di Glenmarie, PJ dan kini Mutiara Damansara,” jelasnya.
Bilik pameran ini dibuka setiap hari dari pukul 10AM hingga 10PM, memberikan banyak masa kepada pelanggan untuk meneroka teknologi EV terkini BYD.