Bulan April menyaksikan Proton mencapai peningkatan jualan unutk menambah pegangan pasaran bagi syarikat. Jualan kumpulan pada bulan itu mencapai 12,692 unit (domestik, eksport, smart, Proton e.MAS), peningkatan 14.7% berbanding bulan yang sama pada 2024 dan hasilnya, bahagian pasaran bagi bulan itu dianggarkan sebanyak 20.8%. Sebaliknya, Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan meningkat hanya 1.8% berbanding April tahun lalu kepada 60,886 dan menurun sebanyak 16.3% berbanding Mac akibat kesan tempoh perayaan.
Keputusan ini telah mengukuhkan kedudukan syarikat di tangga kedua pada senarai jualan automotif Malaysia dan datang padamasa tawaran dan potongan harga oleh jenama baharu mengakibatkan keadaan pasaran yang sangat kompetitif dan memberi pembeli kereta pelbagai pilihan.
Proton e.MAS 7 mendahului jualan EV keseluruhan dan tiga model ICE mendahului segmen
Salah satu kisah kejayaan terbesar untuk 2025 ialah prestasi jualan yang kukuh bagi Proton e.MAS 7, yang menyaksikan jumlahnya meningkat setiap bulan sejak pelancaran pada 16 Disember 2024. Trend itu berterusan pada April apabila model EV pertama Proton menembusi kekangan 800-unit dengan mencapai 863-unit (domestik + eksport). Ini menjadikan jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 2,716 unit dan meletakkan model itu sebagai EV terlaris di negara dan jenama Proton e.MAS di tempat kedua untuk jualan EV keseluruhan walaupun pada masa ini hanya mempunyai satu model dalam rangkaiannya. Lebih penting lagi, hasilnya bermakna EV kini menyumbang 6% daripada keseluruhan jualan Proton.
Tidak ketinggalan, Proton X50 juga berprestasi cemerlang pada bulan April untuk mendahului semula pasaran SUV segmen B. Dengan 2,389 unit terjual pada April, volum tertingginya untuk 2025, jualan YTD kini telah meningkat kepada 7,506 unit, terbanyal di segmennya, serta 420 unit mendahului jualan YTD dari tahun 2024.
Dua lagi model ICE Proton mengakhiri bulan sebagai pedahulu segmen untuk jualan April dan YTD. Proton X90 kekal sebagai pilihan bagi pembeli yang mencari SUV segmen D dengan 194 unit dijual pada April menjadikan jumlah YTD 873 unit. Sementara itu, Proton S70 kekal sebagai model sedan segmen C yang dominan di Malaysia dengan 1,716 unit dijual pada April untuk meningkatkan jumlah YTDnya kepada 6,181 unit.
Satu model Proton terus membina volumnya pada 2025 walaupun terdapat banyak pesaing baharu yang diperkenalkan. Proton X70 kini telah mencatatkan jualan sebanyak 2,839 YTD selepas 682 unit lagi dijual pada April, dan pencapaian itu bermakna SUV segmen C kini mencapai 44% lebih jualan YTD daripada jumlah YTDnya sehingga April tahun lepas. Bagi model Proton ICE yang lain, Proton Saga mencapai 5,213 jualan pada April untuk menjadikan jumlah YTDnya hampir 21,000 unit, Proton Persona menamatkan bulan sebagai sedan segmen B kedua terlaris dengan 1,328 unit terjual manakala Proton Iriz mencatatkan 290 jualan dan kini menduduki tempat keempat untuk jualan hatchback segmen B.
“Jualan automotif di Malaysia terus kukuh, walaupun seperti yang dijangkakan, TIV pada 2025 berada di belakang rekod dari tahun sebelumnya. Pengiraan kami menunjukkan defisit pada masa ini berada pada 5%, pencapaian yang baik selepas dua tempoh perayaan besar dalam empat bulan pertama tahun ini. Dengan banyak model baharu dijangka akan diperkenalkan dalam tempoh lapan bulan akan datang, dijangkakan jumlah pembelian akan meningkat kerana ada banyak pilihan baharu.
“Bagi Proton, empat bulan pertama 2025 adalah mengenai pengukuhan jualan kami demi membina asas bagi melancarkan serangan kami pada bahagian akhir tahun ini. Pelan tersebut disokong oleh prestasi teguh kami dalam pasaran EV kerana penerimaan awam terhadap e.MAS 7 amat cemerlang. Dengan perancangan untuk pelancaran baharu bagi model ICE dan EV juga, kami yakin akan menimpa kejayaan pada tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Jualan eksport mencecah paras tertinggi baharu manakala e.MAS 7 dipratonton di Singapura
Agenda pertumbuhan eksport Proton terus mengumpul momentum pada bulan April apabila syarikat mencapai bulan terbaik untuk jualan eksport pada 2025. 520 unit telah dieksport bulan lepas didahului oleh Proton X50, Proton Saga dan Proton e.MAS 7, yang telah dipratonton di The Car Expo di Singapura pada 3-4 Mei. Ini menandakan pengembalian Proton ke negara itu setelah meninggalkan pasaran pada tahun 2012. Selain itu, Proton X70 telah diperkenalkan di Bangladesh pada 30 April sebagai kenderaan pemasangan tempatan yang akan membantu meningkatkan jumlah jualan pada bulan akan datang.
“Jualan eksport kekal sebagai tumpuan yang penting bagi Proton kerana kami melihatnya sebagai pemacu utama pertumbuhan jualan pada masa hadapan. Kami terus meletakkan asas untuk pengembangan kami dengan menambah tawaran EV kami ke pasaran eksport, yang akan membantu memastikan kami bersedia apabila penggunaan EV bermula di luar negara,” tambah Roslan Abdullah.