Piston.my

OMODA | JAECOO Malaysia Buka Gudang Baharu di Shah Alam

OMODA | JAECOO Malaysia telah memperkukuh operasi selepas jualannya selaras dengan peningkatan permintaan pelanggan, menerusi pengembangan ketara infrastruktur logistik dan perkhidmatan. Syarikat itu baru-baru ini mengumumkan penubuhan sebuah gudang alat ganti pusat baharu di Shah Alam, sebagai langkah strategik untuk menyokong rangkaian pengedar dan pelanggan yang semakin berkembang di seluruh negara.

Kemudahan canggih ini, yang diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia, terletak di kawasan perindustrian Hicom dan mempunyai keluasan mencecah 88,000 kaki persegi — lebih dua kali ganda berbanding gudang terdahulu. Pengoperasian rasmi bermula sejak Mac 2025, dan kini ia mampu menyimpan lebih 10,000 unit komponen alat ganti bagi semua model OMODA dan JAECOO yang dijual di pasaran Malaysia.

Pengarah dan Naib Presiden OMODA | JAECOO Malaysia, Emily Lek, berkata pelaburan ini merupakan satu komitmen berterusan untuk memberikan pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh, bukan sahaja dari segi jualan, malah selepas jualan yang lebih efisien dan responsif.

“Lokasi strategik gudang ini membolehkan kami menyokong rangkaian pengedar dengan lebih cekap, di samping memastikan alat ganti tersedia dengan pantas di seluruh negara. Ini selaras dengan matlamat kami untuk membina pengalaman pelanggan yang konsisten dan berkualiti tinggi sepanjang perjalanan pemilikan,” ujarnya.

Gudang ini turut dilengkapi dengan stok khusus bagi menyokong pelancaran jenama baharu di bawah kumpulan itu, iCAUR, termasuk model sulungnya, iCAUR 03, yang dijadualkan memasuki pasaran tempatan pada suku ketiga 2025.

Sehingga kini, OMODA | JAECOO telah memiliki sebanyak 45 cawangan pengedar sah yang menawarkan jualan dan servis selepas jualan di seluruh negara. Manakala iCAUR pula telah menandatangani perjanjian dengan 11 pengedar, dengan jangkaan pertambahan cawangan dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pengembangan ini menandakan langkah penting dalam usaha OMODA | JAECOO Malaysia untuk mendefinisikan semula konsep kemewahan yang mampu dimiliki, sambil memastikan kemampanan dalam skala operasi domestik dan peluasan ke pasaran serantau ASEAN.

Dengan pelaburan berterusan dalam logistik dan infrastruktur pelanggan, jenama ini terus menzahirkan aspirasi jangka panjang untuk menjadi peneraju dalam segmen SUV premium dan elektrifikasi masa depan di Malaysia.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan