Piston.my

Pusat R&D Proton Di China Meyumbangan Kepada Pembangunan Model Baru

Pembukaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (PRDC) Proton di  Hangzhou Bay, China, melalui kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely), memainkan peranan penting dalam mempercepat kemajuan teknologi produk syarikat. Hanya setahun selepas operasinya, kerjasama ini telah memperkasa  keupayaan R&D Proton secara langsung, memudahcara pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada  kesemua model Proton. Pada dasarnya perkongsian ini adalah untuk memupuk persekitaran yang dinamik bagi  pertukaran pengetahuan dan inovasi, membolehkan Proton memenuhi permintaan dan pilihan pelanggan. 

Memanfaatkan Kepakaran Global Demi Manfaat Pemilik Proton 

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Geely (PRDC) mengamalkan sistem pembangunan produk baharu (NPDS)  yang tersusun, merangkumi semua fasa penting daripada perancangan strategi produk, penetapan reka bentuk  sehingga kepada penilaian akhir data (FDJ). Pendekatan ini memastikan penglibatan menyeluruh yang selari dan  progresif. Mengetuai kerja-kerja Elektrikal dan Elektronik (E&E) serta integrasi bagi projek baharu, Wan Fatin Nur Amira  Binti Wan Rusli, Jurutera Kanan di pusat tersebut, berkata bahawa penggunaan platform dan peralatan berteknologi  tinggi telah mempercepatkan pembangunan model Proton. “Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, saya melihat  bagaimana PRDC menyumbang kepada pembangunan generasi baharu kenderaan pintar Proton menerusi integrasi  teknologi E&E kenderaan yang canggih.” 

Muhammad Hafiz Bin Zabidi, Jurutera Utama dalam Kejuruteraan Prestasi di Proton, menjelaskan bahawa kemajuan  ketara telah dicapai dalam usaha meningkatkan karekter pemanduan model-model Proton akan datang. Antara  penambahbaikan termasuk talaan casis dan sistem suspensi yang lebih sesuai untuk jalan raya di Malaysia, sistem  brek yang lebih baik, tahap bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) yang lebih rendah serta pengunaan minyak yang  dipertingkat menerusi ujian kejuruteraan lanjutan. Pusat R&D ini juga melakukan penanda aras dengan pesaing untuk  memastikan daya saing Proton dan menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih baik kepada pelanggan. 

PRDC Pacu Pelancaran Pembangunan EV Pertama Proton 

Kerjasama antara PRDC dan Geely turut menyumbang kepada pembangunan model EV pertama Proton, Proton  e.MAS 7 menerusi kemudahan makmal bateri, bangku ujian sistem janaan kuasa dan pusat pembangunan kenderaan  pintar di Hangzhou Bay. Sejak pelancarannya di Malaysia pada Disember lalu, model EV pertama Proton telah  menjadi model EV paling laris di negara ini. 

Sepanjang tahun lalu, Omar Farhan Bin Omar, Jurutera Kanan bersama pasukannya terlibat dalam penyelarasan  kejuruteraan, pelaksanaan garis masa dan kerjasama merentas fungsi bagi memastikan projek ini mencapai tahap  kesediaan untuk pengeluaran. Mereka telah mencapai beberapa pencapaian penting dengan mengetuai usaha  pengesahan dalam pengurusan haba, kecekapan pengecasan dan brek regenerative, yang meningkatkan aspek  keselamatan, ketahanan dan jarak perjalanan, terutamanya untuk iklim tropika Malaysia. “Menerusi usaha ini, kami  berada di landasan yang tepat untuk memperkenalkan EV yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi untuk pengguna  ASEAN,” tambahnya. 

Sementara itu, Zulkifli Bin Fadzlullah, Jurutera Kanan dalam Pengujian & Pembangunan, berkata kemudahan seperti  litar ujian dan bilik iklim yang digunakan PRDC memainkan peranan penting dalam proses pengujian yang menyeluruh  oleh Proton. “Kami berhubung secara harian dengan pasukan R&D Proton Malaysia, berkongsi pengetahuan  

teknikal dan data ujian yang akan membantu meningkatkan keupayaan ujian di Malaysia. Ini membolehkan Proton  mengeluarkan kenderaan yang lebih kompetitif dan berkualiti tinggi pada masa hadapan.” 

Dengan memanfaatkan pengalaman Proton dalam membangunkan kenderaan untuk pasaran Malaysia dan ASEAN,  Geely turut mendapat pemahaman yang lebih baik tentang kehendak pelanggan tempatan, keadaan jalan raya serta  peraturan kerajaan. Proton juga memainkan peranan sebagai rakan strategik Geely dalam usaha penyesuaian  teknologi dan pengembangan kehadirannya di rantau ASEAN. 

Pada masa hadapan, Proton berhasrat untuk memperkukuh pemahaman teknikal serta memperluaskan pasukan  R&D di Malaysia melalui program pertukaran. Malaysia juga mengakui keperluan untuk ujian dunia sebenar yang lebih  banyak. Pusat ini dijangka memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan Proton, khususnya dalam  bidang seni bina E&E dan pembangunan EV, sekali gus mengukuhkan keupayaan inovasi bebas Proton di Malaysia. 

Mohd Haizam Bin Ghazali, Ketua R&D Kejuruteraan dan Teknikal berkata, “Kerjasama ini berfungsi sebagai  penghubung penting kepada keupayaan pembangunan produk Proton, membolehkan jurutera mengakses  kemudahan canggih dan meningkatkan kemahiran mereka, tanpa memindahkan operasi R&D utama dari Malaysia.  Kami berhasrat untuk menggandakan jumlah tenaga kerja menjelang hujung tahun ini sebagai sebahagian daripada  inisiatif pengembangan yang akan melonjakkan kapasiti R&D kumpulan kami secara signifikan. Menjelang masa  hadapan, kami menjangkakan lebih banyak kemajuan teknologi akan diintegrasikan ke dalam model-model terkini kami,  sekali gus mencerminkan dedikasi Proton terhadap inovasi dan kemajuan untuk syarikat dan negara”

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan