Piston.my

Proton e.MAS 7 Kini Antara EV Paling Laris di Malaysia

Sempena ulang tahun pertama jenama Proton e.MAS, PRO-NET mengumumkan bahawa e.MAS 7 terus menjadi model EV No.1 di Malaysia, dengan 3,632 unit terjual setakat 31 Mei 2025, merangkumi 3,399 unit dalam negara dan 233 unit yang telah dieksport diluar. Pencapaian ini dicapai hanya dalam tempoh lima bulan sejak penghantaran bermula pada Januari 2025, menjadikan e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik yang paling pantas terjual di Malaysia.

Pencapaian ini hadir tepat setahun selepas pelancaran jenama Proton e.MAS. Diperkenalkan pada 12 Jun 2024, jenama ini melancarkan model utamanya, e.MAS 7, pada 16 Disember 2024  yang kini telah muncul sebagai peneraju dalam segmen kenderaan elektrik yang kian pesat berkembang di Malaysia.

Walaupun berdepan tekanan harga dalam pasaran EV, e.MAS 7 terus menunjukkan prestasinya yang kukuh, mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama Proton dan komitmennya terhadap kualitinya.

“Sambutan hebat daripada rakyat Malaysia ini amat memberangsangkan. Ia membuktikan bahawa strategi kami berada di landasan yang betul, mengukuhkan keyakinan terhadap jenama Proton e.MAS, dan mengesahkan nilai pelaburan dalam inovasi tempatan,” kata Zhang Qiang, CEO PRO-NET. “Kejayaan e.MAS 7 menjadi petunjuk jelas arah tuju pasaran, dan kami berbangga menjadi peneraju dalam perubahan ini.”

Selepas kejayaan pelancaran smart #1, PRO-NET, anak syarikat pengeluar kereta nasional PROTON, diberi tanggungjawab untuk membangunkan jenama EV tempatan yang boleh dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

Perjalanan e.MAS bermula sebelum kenderaan sulunya keluar ke jalan raya. Anjuran pertandingan menamakan jenama proton e.MAS di seluruh negara menerima lebih 25,000 penyertaan, membuktikan keterujaan dan harapan rakyat Malaysia untuk era baru mobiliti elektrik.

PRO-NET bukan sahaja menjual kereta, malah berusaha membina ekosistem yang memudahkan rakyat Malaysia untuk menggunakan EV dalam kehidupan seharian dan menikmati pengalaman memiliki EV dengan lancar. Dalam masa setahun, Proton e.MAS berjaya menyediakan lebih 3,100 titik pengecasan awam yang dipaparkan dalam Peta Pengecasan Langsung Bersepadu dalam e.MAS 7 dan aplikasi e.MAS, memberikan liputan lebih 90% di seluruh negara.

Bagi memastikan pelanggan EV di seluruh negara mendapat sokongan terbaik, Proton e.MAS kini mempunyai 44 bilik pameran, dengan 32 sudah beroperasi. Selain itu, perkhidmatan selepas jualan juga sedang berkembang dengan pembukaan enam pusat 3S baru tidak lama lagi, menambah kepada 24 pusat 3S yang sedia ada yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang cekap dan memuaskan hati pelanggan.

Dengan permintaan yang semakin meningkat, PRO-NET terus mencari rakan Pengendali Poin Pengecasan (CPO) baharu sambil memperluaskan rangkaian bilik pameran dan selepas jualan untuk memberi kemudahan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Sementara itu, pembinaan fasiliti pengeluaran khusus Proton e.MAS di Tanjung Malim sedang giat dijalankan. Pembekal tempatan sedang dikenal pasti untuk menyokong pengilangan komponen, sekali gus mengukuhkan komitmen Proton terhadap pembangunan industri tempatan.

PRO-NET terus komited sepenuhnya terhadap Pelan Peralihan Tenaga Negara bagi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Proton e.MAS bersedia untuk menjadi peneraju perubahan ini, dengan tekad baharu untuk terus berinovasi, memudahkan akses pengecasan, dan memperkukuh sokongan kepada pelanggan ketika memasuki tahun keduanya.

Kejayaan e.MAS 7 menunjukkan perubahan yang jelas bahawa pengguna Malaysia semakin memilih mobiliti yang canggih dan mesra alam. Tidak lama lagi, Proton e.MAS 5 pula akan hadir dengan segala penambahbaikan hasil pengalaman sebelum ini, dengan misi untuk memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki EV dengan harga lebih berpatutan.

“Kami amat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyokong Proton e.MAS sejak hari pertama,” kata Encik Zhang. “Sokongan, kepercayaan, dan keyakinan anda terhadap visi kami telah menjadikan perjalanan ini satu kenyataan. Melangkah ke hadapan, kami komited untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses, lebih boleh dipercayai, dan lebih berjiwa Malaysia daripada sebelum ini. Masa depan adalah elektrik, dan ia adalah milik kita bersama untuk dibina dengan bangga.”

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun pertama Proton e.MAS, kempen Peace of Mind menawarkan pemeriksaan kenderaan 32 poin secara percuma kepada pemilik e.MAS sedia ada. Pemeriksaan ini merangkumi bahagian penting seperti pad brek, bateri, sistem elektronik, pencahayaan, tayar, pengelap cermin, dan penghawa dingin. Kempen ini juga termasuk pemeriksaan perisian secara percuma.

Inisiatif ini berlangsung dari 1 Jun hingga 1 Julai 2025. Pemilik digalakkan menghubungi pusat servis terdekat untuk membuat temujanji.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan