Aston Martin sekali lagi menggegarkan dunia automotif dengan pelancaran Valkyrie LM, sebuah hypercar ultra-eksklusif yang bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknologi mereka, tetapi juga menjadi simbol penghormatan terhadap sejarah gemilang jenama itu dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans. Hanya 10 unit akan dihasilkan, menjadikan model ini antara kenderaan paling eksklusif dalam sejarah Aston Martin.
Valkyrie LM diilhamkan daripada jentera perlumbaan Valkyrie Hypercar yang kini bersaing dalam Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (World Endurance Championship – WEC) dan Kejohanan IMSA WeatherTech SportsCar. Ia dijana oleh enjin V12 aspirasi semula jadi bersesaran 6.5 liter hasil binaan Cosworth, yang telah ditala mengikut spesifikasi perlumbaan dengan kuasa mencecah 697hp—setara dengan jentera perlumbaan sebenar.
Pelancaran model ini tepat pada waktunya ketika Aston Martin menggiatkan kempen untuk menawan semula Le Mans secara keseluruhan, pencapaian terakhir yang direkodkan pada tahun 1959 menerusi Roy Salvadori dan Carroll Shelby dengan jentera ikonik DBR1. Valkyrie LM bukan sekadar sebuah kereta, tetapi lambang warisan perlumbaan yang telah bermula sejak penyertaan pertama Aston Martin di Le Mans pada tahun 1928.
Dari segi kejuruteraan, Valkyrie LM direka hampir menyamai jentera perlumbaan tulen. Perbezaan hanya terletak pada pengubahsuaian kecil bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan pemanduan dalam suasana bukan perlumbaan. Sistem elektronik serta balast yang diwajibkan FIA telah disingkirkan, manakala antara muka kokpit telah disesuaikan untuk penggunaan pemilik. Sistem kawalan tork gelung tertutup digantikan dengan sistem gelung terbuka yang lebih mudah dikendalikan, dan enjin pula ditala semula untuk menggunakan bahan api komersial.
Kereta ini mengekalkan pacuan roda belakang dan dilengkapi kotak gear tujuh kelajuan berjujukan dengan penukaran gear menggunakan paddle shift. Sistem suspensi pula menggunakan tetapan double wishbone seperti jentera lumba sebenar, lengkap dengan bar kilasan pushrod dan penyerap hentak boleh laras. Tayarnya pula merupakan hasil pembangunan khas Pirelli, pembekal rasmi tayar Formula Satu.
Di bahagian dalaman, kokpit direka dengan keutamaan kepada keselamatan dan keterlihatan. Ia dilengkapi tempat duduk perlumbaan daripada gentian karbon, penyokong bahu, tempat letak kepala empuk, tali pinggang keselamatan FIA enam mata, sistem pemadam api, serta stereng berfungsi penuh dengan paparan digital dan lampu indikator penukaran gear.
Bagi memberikan nilai tambahan kepada pemilik, Aston Martin memperkenalkan program pembangunan pemandu khas yang menyeluruh. Program ini termasuk taklimat teori, latihan trek, latihan simulator, serta bimbingan satu-satu daripada jurulatih profesional. Setiap pemilik juga akan menerima set lengkap peralatan perlumbaan termasuk topi keledar, sut perlumbaan, peranti HANS, kasut, sarung tangan, pelindung telinga dan pakaian dalam kalis api.
Segala urusan penyimpanan, penyelenggaraan dan logistik pengangkutan kereta akan dikendalikan sepenuhnya oleh Aston Martin, sekaligus menghapuskan segala kerumitan kepada pemilik. Acara penyerahan rasmi dijadualkan bermula pada suku kedua tahun 2026, diikuti dua lagi sesi pemanduan di litar bertaraf Formula Satu sebagai sebahagian daripada pengalaman eksklusif yang dinamakan UNLEASHED.
Sejak diperkenalkan pada 2016, projek Valkyrie telah menetapkan piawaian baharu dalam dunia hypercar—daripada coupé asal hingga versi Spider terbuka. Kini, dengan Valkyrie LM, Aston Martin memberi peluang kepada kumpulan pemilik terpilih untuk menyertai dunia perlumbaan ketahanan secara mendalam, memandu jentera yang mampu mencapai kelajuan lebih 321km/j di Le Mans.
Dengan penghantaran seiring pelancaran Kelab Prestasi Valkyrie LM pada tahun 2026, model ini menjadi manifestasi pengalaman sukan permotoran paling eksklusif dan autentik pernah ditawarkan oleh Aston Martin—sesuatu yang benar-benar mengangkat martabat jenama ini ke tahap legenda.