Piston.my

Proton e.MAS 7 Kini Di Trinidad Dan Tobago

Model EV pertama Proton kini telah dilancarkan di pasaran eksport yang kedua. Pelancaran rasmi Proton e.MAS 7 telah berlangsung secara rasminya pada 5 Jun lalu, di Port Of Spain, ibu negara Trinidad dan Tobago, oleh bahagian jualan antarabangsa Proton (ISD) bersama pengedar rasmi kenderaan Proton, ANSA Motors. Negara ini merupakan pasaran antarabangsa kedua bagi model tersebut, menyusul tiga bulan selepas kemunculan antarabangsanya di Nepal. Dilancarkan di Malaysia pada Disember  2024, Proton e.MAS 7 kini menduduki tangga pertama sebagai model EV paling laris di Malaysia dan tempat ketiga di antara model eksport syarikat, disululi oleh Proton Saga dan Proton X50.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Jean-Marc Mouttet, Ketua Sektor ANSA Motors Limited dan Alexander  Sabga, Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan Baharu ANSA MCAL Ltd. ANSA Motors merupakan pengedar  rasmi Proton di negara Caribbean, satu pengiktirafan yang telah disandang sejak 2013. 

Agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pangkalan pelanggan EV yang semakin  berkembang, ANSA Motors telah memperkenalkan sebuah bilik pameran EV baharu yang moden dan canggih di The City of Grand Bazaar. Fasiliti serba baharu ini akan menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan  untuk meneroka model EV, memahami teknologi EV serta menerima sokongan khusus. 

Meneruskan kejayaan kemasukan Proton X50 dan Proton X90 ke pasaran Trinidad dan Tobago tahun lalu,  pelancaran ini mengukuhkan lagi usaha berterusan Proton dalam pengembangan global serta membawa  teknologi automotif canggih ke pasaran eksportnya. Sehingga kini, sejumlah 481 unit kenderaan Proton telah  dieksport ke negara tersebut, yang berpopulasi kira-kira 1.4 juta penduduk. Jumlah ini termasuk 271 unit Proton  X50, 141 unit Proton X90 dan 44 unit Proton Saga. 

Model-model ini pantas mendapat kepercayaan dan perhatian pembeli di pasaran Trinidad, seterusnya membuka  peluang bagi pengenalan Proton e.MAS 7. ANSA Motors juga telah bekerja keras bagi memastikan pengalaman  EV yang lancar dan memuaskan kepada pelanggannya dengan melabur dalam penyediaan sokongan pelanggan  dan infrastruktur.  

Proton e.MAS 7 yang ditawarkan dalam spesifikasi Premium di Trinidad dan Tobago, berstatus penarafan  keselamatan ASEAN NCAP 5 bintang serta pecutan pantas 0-100 km/j dalam hanya 7.1 saat. Unit pemacu elektrik  12-dalam-1nya mampu menghasilkan 160kW dan 320 Nm tork. Dikuasakan oleh sel bateri Aegis Short Blade yang  canggih, bateri 60.22 kWh mampu mencapai jarak perjalanan WLTP sejauh 410 km, menjadikannya pilihan ideal  bagi penggunaan pelanggan di negara tersebut. 

“Perjalanan Proton bersama e.MAS 7 ke pasaran Trinidad merupakan titik penting bagi Proton. Ini jelas  mencerminkan komitmen kami untuk menerajui penerimaan EV di negara tersebut dan menunjukkan satu lagi  langkah signifikan dalam pengembangan antarabangsa kami. Ini juga menunjukkan dedikasi Proton untuk  menerajui adopsi EV dalam portfolio eksport kami dan kami tidak sabar untuk memperkenalkannya ke pasaran  eksport tambahan seperti Mauritius dan Singapura pada akhir tahun ini,” kata Edmund Lim Meng Thong, Pengarah  Bahagian Jualan Antarabangsa, Proton.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan