Piston.my

Ford Amerika Memperkenalkan Street Truck F-150 Lobo 2025

Ford sekali lagi menghidupkan semula warisan klasiknya menerusi pelancaran F-150 Lobo 2025, sebuah street trak yang memadukan reka bentuk garang dengan prestasi enjin V8 yang bertenaga. Nama “Lobo”, yang bermaksud “serigala” dalam bahasa Sepanyol, bukanlah asing dalam sejarah Ford. Ia pertama kali muncul sebagai sebahagian daripada konsep Bronco pada tahun 1981 dan sejak tahun 1997 telah digunakan sebagai nama untuk model F-150 di pasaran Mexico. Kini, buat julung kalinya, nama ikonik ini diperkenalkan secara rasmi di Amerika Syarikat sebagai varian khas model pikap paling laris keluaran Ford.

Menariknya, Lobo tidak ditawarkan sebagai varian atau trim tersendiri. Sebaliknya, ia merupakan pakej penampilan pilihan yang boleh dipadankan dengan varian F-150 STX. Trak ini ditawarkan secara eksklusif dalam konfigurasi SuperCrew, dan dikuasakan oleh enjin V8 aspirasi semula jadi 5.0 liter yang mampu menjana 400hp dan 555Nm tork — angka yang sama seperti model STX standard. Bagi pembeli yang inginkan lebih prestasi, Ford turut menawarkan model F-150 lain seperti varian EcoBoost V6 450hp dan Raptor R dengan enjin V8 supercaj 5.2 liter yang menjana sehingga 720hp.

Dari segi mekanikal, F-150 Lobo dilengkapi sistem pacuan empat roda dengan kotak pemindahan dua kelajuan yang dikawal secara elektronik. Pemandu boleh memilih antara mod 2H, 4A, 4H dan 4L, menjadikan Lobo sesuai untuk kegunaan jalan raya mahupun pengembaraan luar jalan. Kapasiti praktikalnya juga kekal mantap, dengan muatan maksimum 657kg dan kebolehan menunda sehingga 3,583kg.

Namun, fokus utama F-150 Lobo adalah pada penampilan dan gaya jalanan. Pakej Lobo menyertakan kit badan lengkap 10 bahagian dengan pelbagai elemen reka bentuk gelap untuk menyerlahkan karekter agresifnya. Gril hadapan khas, hud gaya cowl, serta bar lampu LED dua lapis memberikan rupa hadapan yang lebih berani dan menonjol. Bahagian belakang pula dipertingkatkan dengan kemasan lampu belakang baharu serta lencana Lobo yang halus, menambahkan lagi identiti eksklusif model ini.

Satu lagi elemen membezakannya daripada model STX biasa ialah penggunaan rim aloi hitam berkilat bersaiz 22 inci, dipadankan dengan sistem suspensi belakang yang direndahkan sebanyak dua inci. Ini memberikan Lobo penampilan yang lebih rendah dan sporty. Tambahan pula, paip ekzos berkembar yang kelihatan jelas di belakang memberikan sentuhan akhir yang lebih berkarakter — ciri yang tidak terdapat pada model Maverick Lobo.

Bagi mereka yang mahukan lebih banyak pilihan gaya, Ford menawarkan warna-warna menarik seperti Atlas Blue, Rapid Red, Carbonized Grey, dan Oxford White, selain warna hitam standard yang menonjolkan aura garang Lobo.

Dari segi harga, Ford menetapkan F-150 Lobo pada USD 59,995 (sekitar RM282,000), iaitu USD 4,695 (RM22,100) lebih mahal berbanding model asas STX. Perbezaan harga ini mencerminkan pelbagai penambahbaikan kosmetik dan ciri eksklusif yang menjadikan F-150 Lobo sebagai salah satu peserta paling berani dalam segmen trak jalanan bersaiz penuh.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan