Stellantis, syarikat automotif global yang terbentuk hasil penggabungan antara Fiat-Chrysler dan PSA Peugeot-Citroën, kini berada di ambang untuk mengumumkan strategi pemulihan menyeluruh bagi dua jenama Itali yang paling mencabar prestasinya — Alfa Romeo dan Maserati. Strategi baharu ini dijangka diumumkan dalam minggu-minggu akan datang, dengan matlamat utama untuk mengekang kejatuhan jualan serta mengukuhkan daya saing kedua-dua jenama warisan tersebut dalam pasaran global yang kian mencabar.
Pelan tersebut sedang menghampiri kelulusan akhir dan akan menyaksikan pendekatan kolaboratif antara Alfa Romeo dan Maserati. Ini melibatkan perkongsian platform kenderaan masa depan dan komponen utama dalam segmen pasaran yang bertindih. Sinergi ini bukan sahaja bertujuan menyelaraskan pembangunan produk, malah mampu mengurangkan kos operasi secara signifikan. Meskipun kerjasama teknikal akan dipertingkatkan, identiti unik setiap jenama akan terus dipertahankan.
Langkah ini diambil di tengah-tengah spekulasi yang berterusan mengenai masa depan Maserati, termasuk khabar angin tentang kemungkinan penjualan jenama tersebut — sesuatu yang telah dinafikan secara konsisten oleh pihak pengurusan tertinggi Stellantis. Pada masa yang sama, perhatian turut tertumpu kepada kelewatan dalam pelancaran SUV Alfa Romeo Stelvio generasi baharu, yang dianggap penting dalam merancakkan semula kehadiran jenama itu.
Statistik jualan semasa menunjukkan cabaran besar yang dihadapi kedua-dua jenama. Alfa Romeo mencatatkan penurunan jualan sekitar 20% tahun lalu, manakala Maserati menyaksikan kejatuhan yang lebih ketara melebihi 50%, walaupun telah memperkenalkan beberapa model baharu. Jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan masing-masing, jualan semasa Alfa Romeo hanya mewakili separuh daripada angka yang dicapai pada tahun 2018.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Drive, Ketua Eksekutif Alfa Romeo dan Maserati, Santo Filici, mengesahkan bahawa strategi pemulihan kini dalam fasa akhir pembangunan dan sedang menunggu pengesahan daripada CEO baharu Stellantis, Antonio Filosa, yang akan memulakan tugasnya pada 23 Jun. Filosa mengambil alih tampuk kepimpinan susulan peletakan jawatan Carlos Tavares pada Disember lalu.
Filici menjelaskan bahawa strategi yang dirangka bukan sekadar tertumpu kepada pengenalan model baharu semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan pelan transformasi menyeluruh yang turut merangkumi struktur korporat, pembangunan produk, rangkaian pengedar serta operasi pengilangan — khususnya di kilang-kilang utama di Itali. Beliau turut menekankan bahawa semakan semula sedang dilakukan terhadap struktur organisasi dan strategi operasi runcit dari segi lokasi geografi.
Sejak penubuhannya pada 2021, Stellantis telah memberikan tempoh selama sepuluh tahun kepada keempat belas jenama di bawah naungannya untuk membuktikan keupayaan mereka menjana keuntungan dan kekal relevan dalam jangka panjang. Di bawah dasar ini, sebarang jenama yang gagal mencapai sasaran tersebut berisiko ditutup atau digabungkan.
Kenyataan tegas yang dibuat oleh bekas CEO, Carlos Tavares, pada Ogos 2024 bahawa “Stellantis tidak mampu menyimpan jenama yang tidak membawa keuntungan,” telah mencetuskan spekulasi hangat mengenai nasib Maserati. Sejak itu, tekanan ke atas pihak pengurusan untuk menunjukkan pelan tindakan yang kukuh semakin meningkat.
Sebagai usaha memperkukuh lagi strategi, Stellantis telah mendapatkan khidmat firma perunding antarabangsa, McKinsey & Company, untuk membantu merangka pelan penyelamatan Alfa Romeo dan Maserati. Perkembangan ini menjadi semakin penting memandangkan tarif import kenderaan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Amerika kekal sebagai pasaran utama untuk kedua-dua jenama ini, merangkumi hampir 30% daripada jualan global Maserati dan 15% bagi Alfa Romeo.
Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran SUV Stelvio generasi baharu Alfa Romeo kini tertangguh susulan perubahan dalam strategi trenkuasa syarikat. Walaupun barisan pengeluaran didakwa telah bersedia, tiada model pra-pengeluaran dengan enjin petrol telah dilihat setakat ini. Pada asalnya, pelancaran versi elektrik dijangkakan dahulu, namun terdapat petunjuk bahawa Alfa Romeo kini sedang menyesuaikan model itu untuk dilancarkan dalam versi enjin pembakaran terlebih dahulu.