PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton dan peneraju jenama EV nasional Malaysia, terus mara dalam misinya untuk mendekatkan mobiliti elektrik kepada rakyat. Bulan Jun ini, PRO-NET mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi pengembangan rangkaian pengedar di bawah jenama Proton e.MAS dan smart. Tiga lagi pusat pengedar baharu kini mula beroperasi di Kota Kinabalu, IOI Putrajaya dan Jalan Klang Lama Kuala Lumpur, sekaligus mengukuhkan lagi kehadiran PRO-NET di seluruh negara dan memudahkan pemilikan EV di Semenanjung dan Sabah.
Pengumuman ini menandakan satu lagi langkah yang signifikan dalam strategi pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan PRO-NET, mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan akses EV yang menyeluruh serta perkhidmatan pelanggan di seluruh negara.
Buat julung kalinya, Proton e.MAS menyambut ulang tahun pertamanya bulan ini dengan penuh semangat dan keyakinan pengguna yang terus berkembang. Sejak diperkenalkan, e.MAS 7 telah mencatat pencapaian membanggakan sebagai model EV paling pantas terjual di Malaysia, dengan lebih 3,000 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan. Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap inovasi, kualiti, dan pengalaman pemilikan yang ditawarkan oleh Proton e.MAS.
Sehingga Jun 2025, rangkaian Proton e.MAS telah berkembang kepada 35 pusat pengedar yang kini beroperasi sepenuhnya di seluruh negara. Penambahan terbaharu termasuk Pengedar Fook Loi Eurocar (Lot 3, Jalan Cenderakasih, Off Jalan Lintas, 88450 Kota Kinabalu, Sabah), Jewel Sonic (G-218 & G-219, IOI City Mall) dan Peringgit Auto Max (Lot 261, Batu 3 ½, Jalan Kelang Lama). Ketiga-tiga pusat ini kini dibuka dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan lengkap kepada pelanggan EV yang merangkumi perkhidmatan jualan, servis, serta perhidmatan selepas jualan.
Setakat ini, sebanyak 47 pengedar telah dilantik secara rasmi di seluruh negara, dengan 35 daripadanya sudah beroperasi dan membentuk rangkaian kukuh dalam ekosistem yang terus berkembang. Ekosistem ini turut merangkumi 25 pusat 3S, 31 stesen pengecasan pantas DC dan 10 pusat Badan & Cat. Kesemua kemudahan ini diwujudkan bagi memastikan pengalaman pemilikan Proton e.MAS lebih lancar dan penuh keyakinan.
Dengan pembukaan pusat pengedar baharu, Proton e.MAS semakin dekat dengan rakyat dengan menawarkan lebih banyak kemudahan dan akses kepada kenderaan elektrik di seluruh negara. Kehadiran jenama ini kini semakin meluas, dan rangkaiannya akan terus berkembang dalam masa terdekat supaya lebih ramai komuniti di seluruh Malaysia dapat merasai sendiri pengalaman mobiliti elektrik yang mudah dan menyenangkan.
Selain menjadi rakan utama Proton e.MAS, Fook Loi Corporation (Sabah) kini turut mencatat sejarah sebagai pengedar sah smart yang pertama di Sabah, menawarkan kedua-dua model smart #1 dan smart #3 di bawah satu bumbung. Showroom di Kota Kinabalu ini dilengkapi kemudahan mesra EV serta kakitangan terlatih, membolehkan rakyat Sabah menikmati pengalaman EV premium dengan sokongan dan perkhidmatan yang lengkap.
Hal ini menandakan pengembangan rasmi pertama smart Malaysia ke Sabah, membolehkan pelanggan di Sabah merasai sendiri inovasi jenama ini, memandu uji model-modelnya dan menikmati manfaat daripada ekosistem yang semakin berkembang.
Pengembangan dua jenama ini mencerminkan strategi PRO-NET untuk menawarkan fleksibiliti, jangkauan yang lebih luas dan keyakinan kepada rakyat Malaysia yang ingin meneroka dunia pemilikan EV. Sama ada pelanggan tertarik dengan kebanggaan jenama nasional Proton e.MAS atau pengalaman EV premium daripada smart, setiap bilik pameran menawarkan tahap perkhidmatan yang tinggi, kepakaran produk serta sokongan selepas jualan yang komprehensif.
PRO-NET akan terus memperluas rangkaian pengedarnya dalam bulan-bulan akan datang sambil bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, penyedia kemudahan dan pemaju hartanah untuk membangunkan ekosistem EV secara menyeluruh yang merangkumi infrastruktur pengecasan, kesedaran pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.
Dengan rangkaian pengedar tenaga baharu yang kukuh dan dua jenama EV yang dipercayai, PRO-NET terus memainkan peranan penting dalam usaha elektrifikasi negara. Misi PRO-NET jelas iaitu untuk menghubungkan lebih ramai rakyat Malaysia dengan mobiliti elektrik, membuka lebih banyak peluang dan membawa inovasi ke lebih banyak tempat di seluruh negara.