Piston.my

XC60 Kini Menjadi Volvo Paling Laris Sepanjang Zaman

Dengan lebih 2.7 juta unit terjual di seluruh dunia, Volvo XC60 kini secara rasmi telah mengatasi model ikonik Volvo 240 sebagai kereta Volvo paling laris dalam sejarah.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, SUV bersaiz sederhana ini terus menjadi pilihan utama ramai pelanggan – terutamanya mereka yang mementingkan keselamatan, kualiti, dan pengalaman pemanduan premium. Pada mulanya hanya dihasilkan di Eropah, XC60 kemudian menjadi model Volvo global pertama yang turut dikeluarkan di China bagi menyokong pasaran tempatan. Ia juga pernah dinobatkan sebagai World Car of the Year pada tahun 2018.

Generasi terkini XC60 memperkenalkan sistem plug-in hybrid, khusus untuk pelbagai jenis pelanggan, dan merupakan plug-in hybrid paling laris di Eropah tahun lalu.

“Ketika membesar di Sweden pada era 1980-an, Volvo 240 merupakan kereta keluarga yang ikonik – hampir setiap rumah memilikinya,” kata Susanne Hägglund, Ketua Global Offer di Volvo Cars. “Hari ini, XC60 mengambil alih peranan itu – bukan sekadar sebagai pilihan keluarga, tetapi juga sebagai model paling berjaya dalam sejarah kami.”

Kereta Keluarga yang Sempurna

XC60 ialah pilihan ideal bagi keluarga moden – menggabungkan ciri keselamatan terkini, reka bentuk Skandinavia dan kepraktisan SUV dalam satu pakej yang meyakinkan. Ia kini menjadi tunjang dalam legasi Volvo membina kereta yang dipercayai oleh keluarga di seluruh dunia.

Suatu ketika dahulu, Volvo 240 estate merupakan pilihan utama keluarga kerana keupayaannya dalam aspek keselamatan dan prestasi pemanduan. Ia dianggap sebagai penanda aras kereta keluarga. Namun kini, SUV telah menggantikan estate sebagai pilihan utama, dan pencapaian XC60 sebagai model Volvo paling laris sepanjang masa jelas mencerminkan perubahan keutamaan pelanggan masa kini.

Ramai yang membesar bersama Volvo 240 kini memilih XC60 untuk keluarga mereka sendiri. Seperti mana 240 membentuk kenangan zaman kanak-kanak mereka, kini XC60 mencipta memori untuk generasi baharu pula.

Dua Ikon, Satu Warisan Keselamatan

Ketika Volvo 240 dilancarkan pada tahun 1974, ia meletakkan standard baharu dalam keselamatan – termasuk rekaan badan yang mampu menyerap hentakan hadapan dan belakang, serta kabin penumpang yang diperkukuh. Prinsip ini masih menjadi asas rekaan keselamatan Volvo hingga hari ini.

Model ini juga antara yang terawal memperkenalkan perlindungan hentakan sisi yang kemudian dikembangkan menjadi sistem Side-Impact Protection System (SIPS) milik Volvo. Malah, Volvo turut memperkenalkan Child Booster Cushion pada tahun 1978 – iaitu satu inovasi baharu yang diperkenalkan pada dunia, satu ketika dahulu. 

XC60 meneruskan legasi ini dengan memperkenalkan pelbagai teknologi keselamatan canggih seperti City Safety – sistem brek automatik pertama di dunia yang dipasang secara standard untuk membantu mengelak atau mengurangkan perlanggaran pada kelajuan sehingga 30 km/j. Sejak dilancarkan pada 2008, teknologi ini kini menjadi ciri biasa dalam kereta moden.

Pada tahun 2017, XC60 menjadi model pertama di dunia yang memperkenalkan Oncoming Lane Mitigation – sistem yang membantu anda kembali ke lorong jika tersasar ke laluan bertentangan. Inovasi-inovasi seperti ini telah memenangi pelbagai anugerah keselamatan bebas.

Sama seperti Volvo 240 dahulu, XC60 yang telah diperbaharui ini kini antara kereta paling selamat di jalan raya – dengan struktur badan yang diperkukuh dan teknologi bantuan pemandu terkini untuk melindungi anda dan penumpang.

Merapatkan jurang untuk masa depan elektrik sepenuhnya

Volvo XC60, bersama beberapa model Volvo lain yang telah ditambah baik – memainkan peranan penting dalam strategi elektrifikasi Volvo. Ia menawarkan pemanduan elektrik sepenuhnya, dengan kelebihan enjin pembakaran untuk mereka yang masih belum bersedia beralih sepenuhnya ke EV.

Data global Volvo Cars menunjukkan bahawa hampir separuh daripada jarak perjalanan oleh pemilik plug-in hybrid Volvo terkini dijana sepenuhnya oleh kuasa elektrik

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan