Sejak diperkenalkan pada 1985, Proton Saga kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia yang mencari kereta praktikal dan mampu milik untuk keperluan harian. Model ini terus menarik perhatian golongan siswazah baharu dan pembeli kereta kali pertama, membuktikan kedudukannya yang masih relevan dalam pasaran hingga ke hari ini. Pada tahun ini, Proton Saga menyambut ulang tahun ke-40 pengeluarannya, dan kini ia diiktiraf sebagai ikon nasional serta model Proton paling laris dengan lebih dua juta unit di jual di seluruh dunia.
Sepanjang empat dekad, Proton Saga telah melalui pelbagai perubahan bagi memenuhi cita rasa dan keperluan semasa para pengguna. Namun, ia tetap mengekalkan ciri-ciri utama yang menjadi kekuatannya iaitu praktikal, mampu milik serta keupayaan pengendalian yang terbaik dalam kelasnya. Kualiti Proton Saga juga telah dipertingkatkan dengan ketara, berdasarkan penurunan skor dalam Global Consumer Product Audit (GCPA) daripada 2,580 mata pada Ogos 2024 kepada hanya 1,050 mata pada Mei 2025.
GCPA merupakan kaedah audit kualiti yang digunakan oleh kumpulan Geely dan diadaptasi oleh Proton, di mana skor lebih rendah menunjukkan tahap kualiti yang lebih tinggi. Skor ini menilai isu-isu yang berlaku di barisan pengeluaran mengikut tahap kesulitan masing-masing.
Tradisi Proton Saga sebagai kereta permulaan yang ideal terus kekal hingga ke hari ini. Ia menawarkan pilihan yang mesra pengguna dan mampu milik untuk ibu bapa yang mencari kenderaan untuk anak-anak mereka yang baru memperoleh lesen memandu atau akan melanjutkan pengajian ke kolej. Ia juga menjadi pilihan siswazah baharu yang mula melangkah ke alam pekerjaan. Berdasarkan tinjauan pasaran terkini, 64% daripada pembeli Proton Saga merupakan pemilik kereta kali pertama. Bagi golongan ini, Proton Saga bukan sekadar alat pengangkutan malah ia melambangkan permulaan kepada kehidupan berdikari, mobiliti dan fasa kedewasaan.
Sebagai sedan segmen-A, Proton Saga memenuhi pelbagai keperluan pembeli muda yang mementingkan prestasi yang baik, pemanduan lancar, kos penyelenggaraan yang rendah, kecekapan penggunaan bahan api, serta ruang dalaman yang luas. Antara ciri yang turut menarik perhatian golongan muda adalah sistem infotainmen dengan skrin terapung bersaiz 7 inci dan penyambungan Bluetooth.
Secara ringkasnya, pembeli memilih Proton Saga berbanding model pesaing kerana harga yang berpatutan, reka bentuk menarik, pengendalian yang stabil serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah.
“Dengan sokongan rakyat Malaysia selama empat dekad, Proton Saga bukan sekadar sebuah model ikonik, tetapi lambang mobiliti dan kemajuan negara. Ketika kami menyambut ulang tahun ke-40, Saga terus memainkan peranan penting sebagai kereta pertama pilihan ramai. Dengan pelancaran model baharu yang bakal tiba, kami yakin Saga akan terus relevan dan menjadi pilihan generasi seterusnya,” kata Desmond John Pinto, Eksekutif Program Kenderaan Proton.
Bagi meraikan legasi berterusan model ini serta mengukuhkan hubungan dengan para pelanggan setia, Proton telah melancarkan pertandingan pandu uji “Saga, Ikon Malaysia Sejati”. Pertandingan ini menggalakkan rakyat Malaysia untuk menilai sendiri keistimewaan model ikonik ini. Berlangsung dari 3 Mei hingga 31 Julai 2025, peserta hanya perlu mengunjungi mana-mana cawangan Proton di Lembah Klang, pandu uji Proton Saga dan memuat naik foto atau video pengalaman mereka ke platform media sosial.
Untuk melayakkan diri, semua hantaran mesti menggunakan tanda tandapagar SAGATrueMalaysianICON dan profil perlu dikekalkan dalam tetapan umum.Pemenang akan dipilih menerusi cabutan secara langsung di saluran media sosial rasmi Proton pada bulan berikutnya. Hadiah utama berupa pengalaman eksklusif menaiki Proton Saga bersama duta kempen, termasuk personaliti terkenal seperti Irfan Haris, Jayden Chong dan Mimiflyy.
Kempen ini bukan sahaja memberikan pengalaman istimewa kepada peserta bersama Proton Saga, malah turut membuka peluang untuk menyertai kempen pandu uji Proton yang lain, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.
Model die-cast Hot Wheels Proton Saga mencetuskan fenomena tersendiri sewaktu dilancarkan pada akhir tahun 2023, apabila para peminat membanjiri premis jualan untuk mendapatkan versi standard dan edisi terhad. Ditampilkan dalam warna merah ikonik, ia dengan pantas menjadi rebutan para pengumpul dan dijual semula pada harga berkali ganda daripada harga asal.
Pada akhir tahun 2024, versi kedua Proton Saga telah dilancarkan dan kali ini dalam warna putih, yang melambangkan warna asal kereta pertama yang diperkenalkan pada 9 Julai 1985. Sempena ulang tahun ke-40 Proton Saga, model putih ini kini hadir dalam bungkusan edisi terhad dengan ilustrasi khas oleh Saw Jane Harn iaitu pemenang pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition 2023.
Model ini mula dijual di kedai terpilih mulai 7 Julai dan turut boleh didapati di semua pusat jualan Proton di seluruh negara melalui promosi khas untuk pelanggan Proton.


