Piston.my

Mazda CX-5 Serba Baharu Diperkenalkan untuk Pasaran Eropah

Mazda Motor Corporation secara rasmi telah memperkenalkan Mazda CX-5 generasi ketiga menerusi cabang Eropahnya, Mazda Motor Europe. Pendedahan ini menandakan permulaan era baharu bagi SUV crossover paling laris jenama itu. Berpegang kepada tema “Keselesaan Harian Emosi Generasi Baharu,” model terbaharu ini dijangka memasuki pasaran Eropah menjelang akhir tahun 2025, diikuti pelancaran global sepanjang tahun 2026.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Mazda CX-5 telah memainkan peranan penting dalam menentukan identiti reka bentuk dan kejuruteraan Mazda secara keseluruhan. Ia merupakan model pertama yang mempamerkan falsafah reka bentuk “KODO – Soul of Motion” serta dilengkapi teknologi SKYACTIV, gabungan yang memperkenalkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan cekap. Dalam tempoh lebih sedekad, CX-5 telah mencatat jualan melebihi 4.5 juta unit di lebih 100 negara, menjadikannya salah satu tunjang kejayaan global Mazda.

Generasi terbaharu CX-5 dibina berasaskan kekuatan model terdahulu dengan membawa pelbagai pembaharuan bagi memperkukuh hubungan emosi antara pemandu dan kenderaan. Mazda sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap falsafah Jinba-Ittai—konsep kesatuan harmoni antara manusia dan jentera—dengan memperhalusi lagi aspek kawalan yang intuitif dan kepekaan terhadap respons pemanduan. CX-5 baharu mengekalkan pengendalian sporty yang menjadi kebanggaan Mazda, sambil menjadikannya lebih lancar dan menyenangkan.

Dari segi reka bentuk luaran, CX-5 tampil dengan pendekatan yang lebih ekspresif dan emosional. Setiap aspek telah dirangka semula untuk memberikan pengalaman deria yang lebih mendalam, manakala reka bentuk dalaman pula menekankan keselesaan premium, peningkatan kesenyapan kabin, dan kualiti tunggangan lebih halus. Ciri-ciri praktikal turut dipertingkatkan, menjadikannya kenderaan serba boleh untuk tugas harian, perjalanan keluarga, mahupun percutian hujung minggu.

Ruang dalaman turut menampilkan sistem Antara Muka Mesin-Manusia (HMI) generasi baharu yang menawarkan interaksi lebih intuitif kepada semua penghuni kenderaan. Sambungan digital juga dipertingkatkan melalui penambahan aplikasi baharu dan ciri pintar yang direka untuk menyepadukan gaya hidup moden pengguna. Di samping itu, sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) telah dikemas kini untuk menjamin tahap keselamatan dan sokongan yang lebih tinggi dalam pelbagai situasi pemanduan.

Dari aspek mekanikal, Mazda CX-5 generasi baharu dikuasakan oleh enjin e-SKYACTIV G 2.5 liter, dipadankan dengan sistem M Hybrid Mazda, yang menyumbang kepada penjimatan bahan api serta pengurangan pelepasan karbon. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan SKYACTIV-DRIVE yang memberikan penukaran gear lancar dan responsif. Sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di hadapan dan gantung berbilang pautan di belakang, direka untuk mengimbangi kestabilan, kelincahan dan keselesaan dalam pelbagai keadaan jalan.

SUV ini mengekalkan kapasiti tempat duduk untuk lima penumpang, sekaligus menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga moden. Dengan ukuran 4,690mm panjang, 1,860mm lebar dan 1,695mm tinggi, model ini sedikit lebih besar daripada Proton X70, namun tetap mengekalkan keseimbangan proporsinya yang harmoni.

Mazda kekal teguh dengan falsafah pembangunannya yang dikenali sebagai “Manusia Radikal”, iaitu komitmen untuk mencipta kenderaan yang bukan sahaja praktikal, tetapi juga memperkayakan kehidupan harian pengguna. Dengan CX-5 serba baharu ini, Mazda bukan sahaja ingin menyampaikan “Kegembiraan Memandu”, tetapi juga memperluas kepada “Kegembiraan Hidup”, dengan menyediakan pengalaman mobiliti yang lebih bermakna dan menyentuh jiwa pelanggan dalam setiap perjalanan mereka.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan