Pasaran automotif China terus mengalami transformasi pantas apabila kenderaan tenaga baharu (NEV) semakin menguasai landskap jualan nasional. Menurut data terbaharu yang diterbitkan oleh portal automotif terkemuka China, Yiche, model Geely Geome Xingyuan, yang dikenali juga sebagai Proton e.MAS 5 di pasaran antarabangsa, telah dinobatkan sebagai kenderaan paling laris di China bagi separuh pertama tahun 2025.
Dalam senarai 20 kenderaan paling laris, jelas kelihatan perubahan ketara dalam keutamaan pengguna, yang kini lebih cenderung kepada kenderaan NEV – termasuk model elektrik sepenuhnya dan hibrid plug-in. Jenama-jenama tempatan menguasai 10 kedudukan teratas, membuktikan penerimaan yang kian kukuh terhadap pengeluar domestik dalam kedua-dua kategori kenderaan arus perdana dan elektrik.
Geely Geome Xingyuan, yang ditawarkan pada harga permulaan serendah 69,800 yuan (kira-kira RM41,367), mencatatkan jualan memberangsangkan dengan 204,940 unit terjual dalam tempoh enam bulan pertama 2025. Ini menjadikan ia satu-satunya model yang berjaya melepasi angka 200,000 unit dalam tempoh tersebut. Kedudukannya di tangga teratas berjaya menewaskan pesaing utama seperti BYD Seagull dan Tesla Model Y, sekaligus membuktikan keunggulannya dalam kategori NEV bajet.
BYD Seagull pula mengekalkan prestasi konsisten di tempat kedua dengan 174,912 unit terjual. Dengan purata jualan bulanan sekitar 30,000 unit, ia kekal sebagai antara pilihan paling popular dalam segmen NEV mampu milik, menunjukkan daya saing tinggi jenama tempatan dalam menawarkan teknologi moden pada harga berpatutan.
Sementara itu, Tesla Model Y mengukuhkan posisinya di tempat ketiga dengan 171,491 unit dihantar kepada pelanggan. Walaupun angka ini sedikit ketinggalan berbanding model tempatan yang lebih menjimatkan, Model Y tetap mengekalkan statusnya sebagai kenderaan elektrik premium paling laris di pasaran China.
Secara keseluruhan, hanya lapan model asing atau kerjasama antarabangsa yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 20 teratas. Selebihnya dikuasai oleh pengeluar China, sekali gus mencerminkan penguasaan domestik yang semakin kuat, khususnya dalam ruang kenderaan elektrik yang kini menjadi medan persaingan paling sengit.
Trend ini turut disokong oleh pelancaran kenderaan baharu seperti Proton e.MAS 5, yang diperkenalkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, dalam satu sesi media khas pada Mei lalu. Model ini, hasil kerjasama erat antara Proton dan Geely, dijadualkan memasuki pasaran secara rasmi pada suku keempat 2025, dan dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan Proton dalam segmen EV di Asia Tenggara.
Dengan pencapaian ini, pasaran automotif China dilihat sedang melangkah ke satu fasa baharu, di mana inovasi teknologi, penawaran harga kompetitif, dan kualiti buatan tempatan menjadi faktor utama dalam memacu permintaan pengguna masa kini.


