Piston.my

Jaecoo J8 Dilancarkan Secara Rasmi – Harga Bermula dari RM178,800

Jaecoo Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) tempatan dengan pelancaran rasmi model terbaharunya, Jaecoo J8. Sebagai model keempat dalam barisan kenderaannya di Malaysia, Jaecoo J8 tampil sebagai model perdana yang menyeimbangkan kemewahan dan keupayaan off-road dalam satu pakej yang serba lengkap.

Dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan teknologi suntikan terus empat silinder sebaris, J8 mampu menjana kuasa sehingga 246hp dan tork 385Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem ekzos berkembar, memastikan penghantaran kuasa yang lancar serta responsif — sesuai untuk kegunaan di bandar mahupun di laluan mencabar.

Pelanggan akan ditawarkan dua varian utama, masing-masing dengan keunikan tersendiri. Varian Pacuan Dua Roda (2WD) hadir dalam konfigurasi lima tempat duduk dengan ruang but seluas 738 liter, menjadikannya ideal untuk kegunaan harian keluarga mahupun individu yang aktif. Sementara itu, varian Pacuan Semua Roda (AWD) pula menawarkan konfigurasi enam tempat duduk dan menampilkan sistem suspensi Kawalan Lembapan Berterusan (CDC) yang menyesuaikan prestasi suspensi mengikut keadaan permukaan jalan. Keupayaan off-road model ini turut diserlahkan dengan keupayaan meredah air sehingga kedalaman 450mm.

Ruang dalaman Jaecoo J8 dibina dengan penekanan terhadap keselesaan dan teknologi moden. Kedua-dua varian menampilkan skrin paparan infotainmen bersaiz 12.3 inci serta sistem kamera panoramik 540 darjah, memberikan kawalan pandangan yang menyeluruh kepada pemandu. Varian 2WD dilengkapi dengan sistem audio Sony 12 pembesar suara, pencahayaan ambien, upholsteri kulit tiruan, dan enam beg udara sebagai ciri keselamatan standard.

Untuk pelanggan yang menginginkan tahap kemewahan yang lebih tinggi, varian AWD membawa pelbagai peningkatan. Ini termasuk sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara (termasuk pembesar suara di bahagian sandaran kepala), 10 beg udara, tempat duduk berbalut kulit tulen, panel dalaman dengan kemasan suede, operasi pintu berkuasa dan sistem pewangi kabin automatik.

Ciri-ciri kemudahan lain turut dimuatkan seperti teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) bagi akses tanpa sentuhan, tempat duduk hadapan berventilasi, perakam video digital (DVR) terbina dalam serta sistem bantuan parkir automatik. Tempat duduk hadapan dan baris kedua juga boleh dilaras secara elektronik dan dilengkapi dengan fungsi urutan, manakala langsir elektronik memberikan privasi tambahan untuk penumpang, khususnya dalam varian AWD.

Jaecoo Malaysia menawarkan J8 pada harga yang kompetitif iaitu RM178,800. Varian 2WD ditawarkan dalam pilihan warna satu tona seperti Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey, manakala varian AWD yang berharga RM198,800, hadir dalam kemasan dua tona yang lebih menyerlah dengan warna asas yang sama.

Ia didatangkan dengan jaminan kenderaan tujuh tahun atau 150,000km, atau yang mana dahulu. Untuk tempahan yang dibuat sehingga 21 Julai 2025, anda mendapat perlindungan insurans percuma setahun, waranti enjin 10 tahun atau kilometer tanpa had, yang mana terdahulu.

Pelancaran Jaecoo J8 mengukuhkan komitmen Jaecoo Malaysia untuk menyediakan SUV premium yang bukan sahaja menawarkan prestasi dan keselesaan luar biasa, tetapi juga serba boleh bagi memenuhi pelbagai gaya hidup pengguna moden. Model ini menyasarkan pembeli yang arif dan mementingkan nilai, tanpa menjejaskan kualiti atau ciri keselamatan.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan