Pembeli kereta di Malaysia jelas terpesona dengan Proton X50 Serba Baharu semasa jelajah prapelancarannya di seluruh negara. Versi terkini SUV segmen-B nombor satu di Malaysia ini telah dipamerkan di lokasi tumpuan utama di pelbagai bandar, menarik perhatian orang ramai yang teruja untuk melihat sendiri tawaran terkini daripada Proton. Hasilnya, sebanyak 5,000 tempahan telah diterima hanya dalam tempoh 10 hari selepas proses tempahan dibuka pada 5 Julai.
Ini bermaksud satu tempahan diterima setiap tiga minit, sekali gus mewakili 50% daripada tawaran awal yang merangkumi rebat tunai RM1,000, kad Touch N Go edisi khas dan tawaran eksklusif GEMPAK! kepada 10,000 pelanggan pertama. Harga penuh akan diumumkan semasa majlis pelancaran rasmi yang dijadual berlangsung pada malam 24 Julai.
Acara Pelancaran Bertemakan Gaya Hidup Akan Diadakan pada 24 Julai
Dengan reka bentuk baharu luaran dan dalaman, teknologi ADAS Tahap 2 yang dipertingkat, enjin baharu, sistem infotainmen (IHU) yang dinaik taraf dengan skrin bersaiz 14.6 inci, serta buat julung kalinya pengiktirafan suara dalam Bahasa Melayu, Proton X50 Serba Baharu disasarkan kepada pembeli yang menjalani gaya hidup aktif. Selaras dengan tema ini, acara pelancaran dan pengumuman harga akan diadakan di lokasi bertemakan gaya hidup yang mencerminkan semangat berani dan progresif model ini, menjanjikan pelancaran yang dinamik dan mengasyikkan.
Ditawarkan dalam tiga varian – Executive, Premium dan Flagship – Proton X50 Serba Baharu dijana oleh enjin baharu i-GT 1.5 TD dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan. Ia menjana 181PS dan tork 290Nm, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 7.6 saat – 0.3 saat lebih pantas daripada model sebelumnya, dengan penjimatan bahan api sebanyak 4.7%. Para pembeli berpotensi boleh merasai sendiri peningkatan ini dengan mengunjungi cawangan Proton untuk sesi pandu uji bermula 19 Julai.
Kumpulan De Fam Menyemarakkan Pelancaran dengan Lagu “All-New Proton X50 Ready”
Bagi mengangkat semangat berani Proton X50 Serba Baharu, kumpulan wanita popular tempatan, De Fam akan mempersembahkan video muzik bagi lagu khas mereka “All-New Proton X50” semasa majlis pelancaran.
Lagu ini telah diperkenalkan pada 5 Julai semasa acara pengumuman pembukaan tempahan, yang menampilkan semangat progresif model ini sebagai latar promosi utama menjelang pelancarannya.
Tempah Segera untuk Terima Proton X50 Serba Baharu Segera
Dengan 5,000 tempahan telah diterima dan hanya 10,000 slot ditawarkan bagi insentif tempahan awal, hanya tinggal 5,000 peluang untuk pelanggan menikmati tawaran istimewa ini. Dengan unit sedia untuk dihantar sebaik selepas pelancaran, pelanggan disaran agar membuat tempahan segera.
PAKEJ READY TO ROAR (Tawaran Tempahan Awal) merangkumi:
⦁ Rebat tunai RM1,000
⦁ Kad Touch ‘n Go edisi khas
⦁ Tawaran eksklusif GEMPAK! – akan diumumkan semasa majlis pelancaran rasmi

