Subaru Corporation secara rasmi telah melancarkan Subaru Uncharted 2026, model terbaharu dalam barisan kenderaan elektrik bateri (BEV) global syarikat itu. Diperkenalkan di New York City, model ini merupakan kenderaan elektrik ketiga dalam portfolio Subaru yang berfokuskan pelepasan sifar, selepas kejayaan Solterra dan Trailseeker.
Uncharted direka sebagai sebuah crossover, menampilkan gabungan fleksibiliti, prestasi tinggi dan kemampuan pengendalian yang mengagumkan. Ia dicipta untuk memenuhi gaya hidup pelbagai pengguna, tanpa mengorbankan semangat eksplorasi yang menjadi teras kepada DNA jenama Subaru. Nama “Uncharted” itu sendiri melambangkan semangat pengembaraan — membawa pemandu dan penumpang merentas batasan kebiasaan ke arah pengalaman baharu yang belum diterokai.
Dari sudut reka bentuk, Subaru Uncharted tampil dengan rupa hadapan yang berani dan aerodinamik, manakala bentuk siluetnya yang kompak diserlahkan dengan sentuhan lasak dan sporty, mewujudkan penampilan yang mencabar serta moden. Di bahagian dalam, kabin dihiasi dengan aksen oren yang menyerlah dan panel instrumen bergaris mendatar, mewujudkan suasana ruang dalaman yang luas dan praktikal. Susun atur ini dibina khusus untuk memberikan keselesaan dan kefungsian dalam penggunaan harian.
Dari segi kuasa, Uncharted 2026 menggunakan bateri litium-ion berkapasiti tinggi 74.7 kWj. Untuk varian pacuan roda hadapan (FWD), ia menawarkan jarak perjalanan melebihi 483km, manakala varian pacuan semua roda (AWD) pula mampu mencapai jarak lebih daripada 451km. Kedua-dua varian disokong oleh sistem prapemanasan bateri dalaman dan mampu menyokong pengecasan pantas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 30 minit menggunakan pengecas 150kW. Kemasukan port pengecas North American Charging Standard (NACS) sebagai ciri standard turut memastikan keserasian menyeluruh dengan pelbagai infrastruktur pengecasan yang tersedia di seluruh benua.
Dari aspek prestasi, model pacuan roda hadapan menghasilkan sehingga 221hp, manakala versi pacuan semua roda pula menawarkan sehingga 338hp. Model ini turut dilengkapi dengan sistem suspensi yang ditala khas dan teknologi pacuan semua roda yang telah diperhalusi, memberikan kestabilan pemanduan dalam garis lurus dan kawalan responsif merentasi pelbagai permukaan jalan.
Berbanding model Solterra, Uncharted adalah 170mm lebih pendek, menjadikannya lebih lincah di kawasan bandar tanpa menjejaskan ruang simpanan barangannya yang luas. Gabungan antara ketangkasan dan utiliti ini menjadikan Uncharted pilihan ideal untuk pemandu urban yang turut meminati aktiviti luar.
Subaru Uncharted merupakan hasil kerjasama pembangunan antara Subaru dan Toyota. Jurutera dari kedua-dua syarikat berganding bahu di bawah matlamat bersama untuk “membina kereta yang lebih baik bersama-sama,” menghasilkan model yang menggabungkan kekuatan dan kepakaran teknologi masing-masing. Uncharted dijangka mula berada di pusat pengedar di Amerika Syarikat menjelang tahun 2026.
Pelancaran model ini menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha Subaru untuk bergerak ke arah mobiliti lebih mampan. Ketika syarikat terus melaksanakan strategi elektrifikasinya, Uncharted menjadi simbol komitmen Subaru terhadap masa depan bebas karbon dan usaha berterusan dalam menangani cabaran perubahan iklim global.












