Piston.my

BMW iX xDrive60 M Sport Pro, BMW iX xDrive45 Sport dan BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu Pemasangan Tempatan Dilancarkan

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu pemasangan tempatan melalui pameran eksklusif di The Art of Driving 2025. Bertempat di salah satu acara golf paling berprestij di Malaysia, pelancaran dua model ini mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia dalam masa hadapan mobiliti melalui prinsip progresifnya terhadap Keterbukaan Teknologi dan Kuasa Pilihan.

Selain BMW iX xDrive45 Sport Baharu, BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu juga akan tersedia di semua pengedar sah BMW di seluruh Malaysia mulai 25 Julai 2025.

BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu, BMW iX xDrive45 Sport Baharu dan BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu mencerminkan evolusi jenama BMW, memperlihatkan jenama ini terus menggabungkan inovasi dan warisan dalam penawarannya.

Generasi terkini BMW iX Baharu menampilkan personaliti yang jauh lebih sporty menerusi rekaan baharu pada bahagian hadapan dan belakang, peningkatan kuasa yang ketara serta kapasiti bateri yang lebih besar. Sementara itu, BMW X5 yang telah memasuki generasi keempat pada tahun 2018, menerima peningkatan pertama melalui pengenalan varian plug-in hybrid BMW X5 xDrive50e M Sport pada tahun 2024.

Kini, pelancaran BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu menandakan kemunculan varian Mild Hybrid serba baharu dalam rangkaian BMW X5 di Malaysia. Varian terkini ini menampilkan rekaan semula sepenuhnya pada bahagian hadapan dan belakang serta ruang dalaman yang diperbaharui, serta mengekalkan DNA BMW melalui enjin ikonik generasi baharu enam silinder sebaris yang telah dipertingkatkan. 

 BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW iX xDrive45 Sport Baharu

Sebagai kenderaan aktiviti sukan (SAV) serba elektrik pertama daripada BMW Group, BMW iX terus menerajui masa hadapan Mobiliti Elektrik dengan dua varian baharu yang kini ditawarkan di Malaysia iaitu BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW iX xDrive45 Sport Baharu.

BMW iX Baharu mengekalkan identiti reka bentuk ikoniknya, namun kini tampil dengan elemen reka bentuk yang diperhalusi untuk penampilan yang lebih dinamik. Mengekalkan rekaan asal, kidney grille kini diperincikan dengan garis pepenjuru dan sentuhan visual yang lebih anggun. Gril ini diserlahkan lagi dengan BMW Iconic Glow, yang menyala lembut apabila pintu kenderaan dibuka atau ditutup.

Ciri ini diperkenalkan buat pertama kalinya pada model ini. Lampu utama adaptif LED baharu dengan fungsi bantuan lampu tinggi turut ditambah baik dengan dua lampu condong pada setiap sisi yang meningkatkan tahap pencahayaan dan mengurangkan silau, sekali gus mengukuhkan penampilan dinamik model ini. Kedua-dua varian BMW iX Baharu turut dilengkapi dengan pakej cermin sisi luaran baharu.

Istimewa untuk BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu, Pakej M Sport Pro disediakan sebagai ciri standard menambahkan elemen estetika melalui rim aerodinamik M bersaiz 22-inci jenis 1025 M Multicolour 3D kemasan berkilat serta dipadankan dengan brek Sport berwarna merah dan M Lights Shadowline. Manakala Pakej M Aerodynamics menyerlahkan garis kontur pada bahagian hadapan dan belakang, menjadikan penampilan keseluruhan lebih agresif dan sporty. Sementara itu, BMW iX xDrive45 Sport Baharu pula didatangkan dengan rim aerodinamik bersaiz 21-inci jenis 1012 Bicolour 3D kemasan berkilat, yang menyerlahkan profil sporty sisi kenderaan serta meningkatkan kecekapan aerodinamik. 

Di ruang dalaman, BMW iX mengekalkan suasana kabin yang luas dan mewah dengan sentuhan rekaan tersendiri. Kedua-dua varian BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW iX xDrive45 Sport Baharu dilengkapi dengan pencahayaan ambien dan bumbung kaca panorama Sky Lounge, yang mencipta suasana lapang serta elegan dalam ruang kabin. Sistem audio Harman Kardon dengan 18 pembesar suara berkuasa 655 watt memberikan pengalaman bunyi yang mengasyikkan, manakala Kokpit Profesional Langsung BMW memberikan akses intuitif kepada navigasi, hiburan, serta tetapan kenderaan.

Selain itu, Bunyi Ikonik Elektrik BMW turut memperkayakan pengalaman pemanduan dengan pelbagai audio eksklusif yang unik. Daripada aspek kemudahan, kedua-dua model dilengkapi dengan kerusi pelbagai fungsi untuk pemandu, sistem akses keselesaan, ruang storan untuk pengecasan tanpa wayar, serta sistem penyaman udara automatik dengan kawalan empat zon sebagai ciri standard. Sementara itu, ciri ketersambungan untuk kedua-dua model merangkumi panggilan kecemasan pintar, telekhidmat, perkhidmatan ConnectedDrive, pakej sambungan profesional dan integrasi telefon pintar sebagai ciri standard.

Eksklusif untuk BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu, Pakej M Sport Pro yang ditawarkan sebagai ciri standard memperkenalkan pelbagai elemen reka bentuk eksklusif seperti lambang M pada panel instrumen, kerusi pelbagai fungsi M dengan kemasan upholsteri Sensatec M berwarna hitam dan Alcantara dalam rona Atlas Grey, serta jalur M berwarna yang menyerlahkan penampilan atletik kenderaan.

Pakej ini turut merangkumi stereng kulit M dengan reka bentuk tiga jejari dan aksen Dark Silver, kemasan trim Dark Silver, serta pelapik bumbung dalaman antrasit yang mewujudkan suasana kabin yang eksklusif dan elegan. Bahagian perehat tangan dan panel instrumen juga dikemaskan dengan upholsteri Sensatec M berwarna hitam dan Alcantara Atlas Grey, menambahkan sentuhan premium dan tekstur mewah.

Melengkapkan gaya luaran yang lebih sporty, lampu kabur pada bahagian hadapan dan belakang menonjolkan lagi penampilan dinamik kenderaan ini. Sebagai pilihan tambahan, ruang dalaman BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu bileh dipertingkatkan dengan Reka Bentuk Dalaman Suite. Kapasiti ruang bagasi pula adalah 500 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,750 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Daripada segi prestasi, kedua-dua varian BMW iX Baharu dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang digabungkan bersama teknologi eDrive BMW generasi kelima serta spesifikasi teknikal terkini. Gabungan ini membolehkan peningkatan output kuasa lebih tinggi dan jarak pemanduan yang lebih jauh. BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu menawarkan kuasa 544hp dan tork 765Nm, menjadikannya varian lebih berkuasa dan dinamik antara kedua-dua model. Kenderaan ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.6 saat, dengan kelajuan maksimum 200 km/j. Manakala, jarak pemanduan elektriknya mencatatkan sehingga 701km mengikut kitaran WLTP, hasil daripada bateri berkapasiti kasar 111.5 kWh yang lebih besar.

Kadar pengecasan arus terus dengan maksimum 195 kW membolehkan BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu mencapai pengecasan pantas, memberikan sehingga 217 km jarak tambahan hanya  dalam 10 minit pengecasan berkuasa tinggi.  

Sementara itu, BMW iX xDrive45 Sport Baharu hadir dengan rangkaian kuasa 408hp dan tork 700Nm, membolehkan pecutan 0 sehingga 100 km/j dicapai dalam hanya 5.1 saat, dengan kelajuan maksimum 200 km/j. Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 602 km (WLTP). Dengan bateri berkapasiti kasar 100.6 kWh, kadar pengecasan turut dipertingkatkan secara signifikan, kini menyokong pengecasan pantas arus terus sehingga 175 kW, iaitu peningkatan sebanyak 25 kW berbanding model sebelumnya (BMW iX xDrive40). Peningkatan ini membolehkan pemulihan jarak sehingga 166 km dalam hanya 10 minit pengecasan berkuasa tinggi.

Sebagai sebahagian daripada sistem akses keselesaan, Kunci Digital Plus BMW menawarkan kaedah yang lancar dan selamat untuk mengakses kenderaan. Sistem ini merangkumi kunci fizikal, kad penyediaan dan kad servis, bagi proses pemasangan dan pengaktifan yang mudah. Dengan menggunakan Kad Penyediaan, pengguna hanya perlu mendekatkannya ke telefon pintar atau mengimbas kod QR untuk mengaktifkan kunci digital.

Ciri ini membolehkan sehingga 18 kunci digital dikongsi bersama pengguna lain, dengan tetapan peranan dan had tertentu seperti kelajuan atau pecutan, ciri yang amat bermanfaat untuk pemandu baharu. Selain itu, sistem juga membolehkan kawalan fungsi kenderaan dilakukan melalui aplikasi My BMW. Kad Servis pula membolehkan peralihan semula ke penggunaan kunci fizikal sekiranya diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan atau kecemasan. Daripada segi bantuan pemanduan, kedua-dua varian hadir secara standard dengan Bantuan Pemanduan Profesional dan Bantuan Parkir Plus, iaitu sistem bantuan pemanduan canggih yang memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mudah, selamat dan yakin.

BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu dan BMW iX xDrive45 Sport Baharu ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna luaran, termasuk Black Sapphire, Mineral White, Arctic Race Blue, Aventurine Red, dan Dune Grey. Eksklusif untuk setiap model, BMW iX xDrive45 Sport Baharu turut tersedia dalam warna luaran Alpine White dan Sophisto Grey, dengan pilihan warna ruang dalaman Atelier Oyster, Atelier Mocha atau Atelier Black. Sementara itu, BMW iX xDrive60 M Sport Pro Baharu boleh didapati dalam warna eksklusif M Carbon Black, manakala ruang dalamannya ditawarkan dalam pilihan Interior Design Suite Amido, Interior Design Suite Castanea, serta reka bentuk dalaman M Sport berwarna hitam atau Atlas Grey.

BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu

Menggabungkan keanggunan atletik dengan kemewahan moden, BMW X5 kekal sebagai model terunggul dalam segmen Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) Premium. Varian terbaharu ini mengalami pengubahsuaian reka bentuk yang komprehensif, menjadikannya kelihatan seperti model baharu sepenuhnya. Daripada pandangan hadapan, BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu menampilkan kidney grille BMW Iconic Glow tiga dimensi serba baharu.

Elemen ini digandingkan dengan lampu utama adaptif LED yang dipertingkatkan dengan bantuan lampu tinggi, kini direka 35mm lebih nipis untuk penampilan lebih anggun dan dinamik. Manakala, lampu siangnya pula tampil dengan reka bentuk X yang menonjol, diakhiri dengan hujungnya  berbentuk anak panah yang menghala, menekankan lagi lebar kenderaan ini. Rekaan keseluruhan disempurnakan dengan apron hadapan baharu, corong udara berbentuk segitiga dan salur udara menegak, yang bersama-sama mencipta penampilan lebih gah dan berkuasa. 

Daripada sisi, BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu menampilkan rim aloi ringan M bersaiz 21 inci dengan rekaan V-Spoke dan digandingkan dengan brek M Sport. Pada bahagian belakang, BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu kelihatan memukau dengan lampu belakang yang tirus, tiga dimensi dengan rekaan X yang bergaya, serta apron belakang yang dipertingkatkan, sekaligus menyerlahkan lagi gaya sporty kenderaan ini.

Secara keseluruhan, pakej standard M Sport menyerlahkan penampilan yang lebih sporty dan dinamik. Ciri luaran standard lain termasuk garisan luaran dan rel bumbung dengan kemasan Satin Aluminium, kemasan kayu halus Fineline Black dengan kemasan logam berkilat tinggi, serta pakej cermin sisi luaran yang dipertingkatkan.

Di bahagian dalam, BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu menampilkan suasana yang mewah dan canggih menerusi rekaan semula bahagian kokpitnya. Panel instrumen BMW yang elegan dengan Paparan Melengkung BMW menjadi tarikan utama, menampilkan paparan maklumat 12.3 inci dan paparan kawalan 14.9 inci. Paparan digital bersaiz besar ini menawarkan antara muka yang lancar untuk akses mudah kepada fungsi penting, di samping mengekalkan gaya moden dan kemas di dalam kabin.

Sementara itu, jalur kemasan yang lebih lebar di atas panel instrumen menyerlahkan susun atur nya yang mendatar, berperanan sebagai latar belakang yang elegan untuk Paparan Melengkung. Penambahan Bar Cahaya di bahagian penumpang hadapan serta elemen kawalan bersepadu di bawah Paparan Utama memberikan sentuhan kemasan tambahan, sekaligus mewujudkan suasana dalaman yang lebih anggun dan sofistikated.

Tempat duduk sport disediakan sebagai ciri standard untuk pemandu dan penumpang hadapan, lengkap dengan pelarasan tempat duduk elektrik serta fungsi memori. Sementara itu, upholsteri “Sensafin”, iaitu bahan sintetik premium yang mimik tekstur halus kulit asli, menambahkan sentuhan premium dalam kabin sambil menawarkan keselesaan dan ketahanan — disediakan sebagai standard dalam warna hitam. Selain itu, stereng kulit M menggabungkan kemewahan dan ketepatan bagi memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik dan selesa, manakala pelapik bumbung antrasit M menyerlahkan lagi nuansa sporty dalam SAV ini.

Di bahagian bawah, konsol tengah yang direka semula menampilkan susun atur yang kemas dengan Kawalan BMW dan kunci dengan fungsi sentuhan yang lebih responsif, menawarkan kawalan yang mudah di hujung jari pemandu. Penukaran gear kini dilakukan menggunakan suis hayun (rocker switch). Ciri dalaman standard lain termasuk sistem bunyi sekeliling Harman Kardon, sistem akses keselesaan, sistem penggera, sistem perjalanan & keselesaan, penyaman udara automatik empat zon, bumbung kaca panorama, bidai suria bergelung untuk tingkap sisi belakang, alas lantai jenis velour dan tempat pengecasan tanpa wayar. Kapasiti ruang bagasi adalah seluas 650 liter dan boleh diluaskan sehingga 1,870 liter.

Daripada segi prestasi, unit kuasa bagi BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu merupakan sebahagian daripada generasi terbaharu enjin petrol ikonik enam silinder sebaris BMW, yang telah menjadi tunjang kepada DNA kejuruteraan jenama ini selama lebih sembilan dekad. Versi terkini enjin ini telah melalui pelbagai inovasi yang ekstensif melibatkan proses pembakaran, kawalan aci sesondol, sistem suntikan bahan api, sistem pencucuhan serta saluran gas ekzos.

Ia turut menampilkan versi terbaharu sistem kawalan injap boleh laras VALVETRONIC, yang mengurangkan tork geseran enjin sewaktu fasa nyahpecutan sehingga kira-kira dua pertiga, sekali gus membolehkan penjanaan semula tenaga brek yang lebih efisien.

Gabungan antara sistem hibrid-ringa 48V, unit 3.0 liter ini menjana kuasa maksimum sebanyak 381hp dan tork mencecah 540Nm — peningkatan kuasa sebanyak 47hp dan 70Nm tork berbanding model terdahulu. Dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda, rangkaian kuasa ini membolehkan BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam hanya 5.4 saat, memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik dan bertenaga di jalan raya. Kelajuan maksimum kenderaan ini mencecah 250 km/j, mengukuhkan lagi kebolehannya sebagai jentera berprestasi tinggi.

Sementara itu, pengendalian dinamik SAV ini dipertingkatkan melalui sistem suspensi hadapan jenis dua lengan A, suspensi belakang lima pautan, serta Kawalan Peredam, yang membolehkan casis ditala dengan lebih tepat untuk prestasi di jalan raya mahupun di luar jalan raya.

Untuk keselesaan tambahan, sistem suspensi udara dua gandar dengan penyesuaian automatik ketinggian, merendahkan ketinggian badan sebanyak 20 milimeter dalam mod Sport pada kelajuan 138 km/j, manakala di laluan luar jalan raya, ia boleh dinaikkan sehingga 40 milimeter. Ketinggian juga boleh direndahkan sehingga 40 milimeter hanya dengan satu sentuhan butang untuk memudahkan pemuatan barangan. Gabungan berkuasa antara sifat sporty yang maksimum, keselesaan pemanduan dan keupayaan unggul di laluan lasak menjadikan BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu menonjol dalam segmennya.

BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu didatangkan dengan rangkaian komprehensif sistem bantuan pemanduan BMW yang canggih sebagai ciri standard, termasuk Bantuan Pemanduan Profesional dan Bantuan Parkir Profesional. Sistem Bantuan Pemanduan Profesional mengintegrasikan pelbagai ciri berasaskan kamera dan radar, termasuk Bantuan Stereng dan Kawalan Lorong, Bantuan Henti Kecemasan, Bantuan Had Laju Automatik, Bantuan Tukar Lorong, Bantuan Kekal Lorong dengan perlindungan pelanggaran sisi, Amaran Lintasan Trafik di hadapan, Bantuan Pengelakan, Amaran di Persimpangan dengan fungsi brek di bandar, dan Fungsi Amaran Laluan Salah.

Sementara itu, Parking Assistant Professional menawarkan ketenangan tambahan ketika pemanduan di ruang sempit. Sistem bantuan pemanduan ini berasaskan kamera dan ultrasonik dan merangkumi Bantuan Undur, Kawalan Jarak Parkir Aktif, Bantuan parkir sisi, dan Sistem Pandangan Sekeliling dengan Paparan 3D Jarak Jauh. Parkir automatik disokong untuk ruang parkir selari dan melintang, manakala Bantuan Pergerakan membolehkan kenderaan menyimpan sehingga 10 laluan parkir yang telah ditet.apkan – sepanjang sehingga 198 meter – secara automatik, yang juga boleh diaktifkan melalui telefon pintar.

Daripada segi ketersambungan, BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu hadir dengan Kokpit Profesional Langsung BMW yang dipacu oleh Sistem Operasi 8.5 BMW. Sistem ini menyokong pelbagai mod interaksi — daripada Pengawal iDrive dan arahan suara, sentuhan skrin hingga ke Kawalan Pergerakan, memastikan kemudahan penggunaan yang maksimum untuk semua penumpang.

Selain itu, dengan keupayaan pembelajaran sendiri, sistem ini mengenal pasti tabiat pemanduan individu dan secara proaktif mencadangkan tip berguna untuk pengalaman yang lebih diperibadikan. Sistem Operasi 8.5 BMW turut menawarkan widget yang boleh dikonfigurasi pengguna bagi memaparkan maklumat masa nyata seperti navigasi dan Bantuan Peribadi Pintar BMW. Sistem inovatif ini membantu membimbing pemandu sepanjang perjalanan, menjadikan setiap pemanduan lebih bijak dan menyeronokkan.

Tambahan lagi, BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu turut dilengkapi dengan paparan hadapan Head-Up BMW berwarna penuh, membolehkan pemandu mengekalkan tumpuan pada jalan sambil tetap melihat semua maklumat penting dipaparkan di hadapan mereka.

Sebagai sebahagian daripada sistem akses keselesaan, Kunci Digital Plus BMW baharu disertakan sebagai ciri standard, bersama dengan kunci digital telefon pintar standard, yang membolehkan kenderaan dibuka secara automatik apabila pemandu menghampiri kenderaan, diiringi dengan paparan cahaya — semuanya tanpa perlu memegang telefon pintar berhampiran pemegang pintu.

Ciri-ciri ketersambungan standard lain termasuklah Panggilan Kecemasan Pintar, telekhidmat, Perkhidmatan ConnectedDrive, Pakej Sambungan Profesional dan integrasi telefon pintar.

BMW X5 xDrive40i M Sport Baharu tersedia dalam pelbagai warna luaran, termasuk Mineral White, Black Sapphire, Brooklyn Grey dan Skyscraper Grey. Sementara itu, ruang dalaman hadir dengan upholsteri Sensafin dengan sulaman hiasan dalam warna hitam.

Relax. We Care.

BMW Group Malaysia menetapkan penanda aras baharu dalam pemilikan automotif premium, memberikan definisi baharu terhadap pengalaman pemanduan dengan penuh keyakinan dan ketenangan minda. Relax, We Care. mencerminkan komitmen teguh BMW untuk membawakan Sheer Driving Pleasure tanpa gangguan – satu janji bahawa walau apa jua situasi, kami sentiasa bersama anda.

Di bawah inisiatif Relax. We Care., pendekatan menyeluruh 360 darjah terhadap pemilikan BMW disampaikan melalui rangkaian perkhidmatan yang bersepadu. Bermula dengan Komitmen Servis BMW, yang menawarkan penjagaan pakar, ketelusan, dan ketepatan dalam setiap janji temu melalui Perkhidmatan & Khidmat Pelanggan, pelanggan BMW turut dilindungi oleh Penjagaan Proaktif BMW.

Perkhidmatan ini menggunakan data sensor masa nyata untuk mengesan potensi kerosakan sesuatu fungsi sebelum ia berlaku, dan memberi amaran kepada pemandu melalui aplikasi My BMW atau iDrive. Ciri ini dipertingkatkan lagi dengan BMW ConnectedDrive, yang mengintegrasikan ketersambungan digital terkini dalam setiap produk BMW, membolehkan kemas kini perisian tanpa wayar dan pengurusan kenderaan masa nyata melalui satu paparan pusat.

Selain itu, program Servis & Pembaikan Inklusif BMW memastikan ketenangan minda dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bersama perlindungan perkhidmatan selama lima tahun atau 100,000km. Bagi Kenderaan Elektrik Bateri, perlindungan perkhidmatan dilanjutkan kepada enam tahun dengan perbatuan tanpa had, dan jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun. Dengan Bantuan Tepi Jalan BMW, pelanggan boleh mendapat sokongan kecemasan 24/7 – termasuk tunda, kereta ganti, dan penginapan hotel sekiranya berlaku kecemasan yang tidak dijangka.

X5 xDrive40i M Sport berharga RM469,800, iX xDrive60 M Sport Pro pada harga RM487,800 dan iX xDrive45 Sport pada harga RM425,800.

Kempen Kereta Baharu BMW menggabungkan semua perkhidmatan ini untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar dan tanpa kebimbangan sejak hari pertama pemilikan, membolehkan pelanggan kekal yakin, terhubung, dan terjaga, tanpa mengira situasi.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan