Mitsubishi Motors Corporation secara rasmi telah menamatkan penglibatannya dalam sektor pembuatan automotif di China selepas lebih dua dekad beroperasi, dengan pembubaran usaha samanya bersama Shenyang Aerospace Mit. Engine Mfg. Ltd. Langkah ini menandakan titik noktah kepada kehadiran jenama Jepun itu dalam industri automotif China, susulan pemberhentian pengeluaran kenderaan tempatan Mitsubishi sejak tahun 2023. Keputusan ini juga mencerminkan tindak balas strategik syarikat terhadap perubahan drastik dalam landskap industri automotif China, yang kini semakin didominasi oleh kenderaan elektrik (EV).
Usaha sama yang dikenali sebagai Shenyang Aerospace Mitsubishi, ditubuhkan pada Ogos 1997, pernah menjadi tunjang utama operasi Mitsubishi di China. Kilang enjin yang beroperasi sejak 1998 itu menghasilkan rangkaian kuasa bukan sahaja untuk model Mitsubishi, malah turut membekalkan kepada pelbagai pengeluar kenderaan tempatan. Namun, pada 2 Julai 2025, entiti tersebut secara rasminya dijenamakan semula sebagai Shenyang Guoqing Power Technology Co., Ltd., selepas Mitsubishi Motors dan Mitsubishi Corporation menarik diri sebagai pemegang saham.
Menurut kenyataan rasmi, Mitsubishi menjelaskan bahawa keputusan untuk berundur ini dibuat susulan peralihan pantas pasaran automotif China ke arah elektrifikasi. Transformasi menyeluruh ini memaksa syarikat untuk menilai semula hala tuju serantau dan menyusun semula fokus perniagaannya.
Hubungan Mitsubishi dengan pasaran China bermula sejak tahun 1973 menerusi eksport trak tugas sederhana. Pengaruhnya terus berkembang sepanjang awal tahun 2000-an apabila usaha sama dalam pengeluaran enjin menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan enjin yang digunakan dalam kenderaan buatan tempatan. Namun, ketika China berkembang sebagai kuasa besar dalam pengeluaran kenderaan tenaga baharu, permintaan terhadap enjin pembakaran dalaman mula merosot secara mendadak, sekali gus meletakkan cabaran besar kepada pembuat kereta tradisional seperti Mitsubishi.
Salah satu tonggak penting strategi Mitsubishi di China sebelum ini ialah usaha sama bersama Guangzhou Automobile Group (GAC) dan Mitsubishi Corporation, yang diberi nama GAC Mitsubishi. Ditubuhkan pada tahun 2012 dengan pegangan saham 50:30:20, kerjasama ini pernah mencatat kejayaan besar. Tahun kemuncaknya ialah 2018 apabila syarikat itu menjual 144,000 unit kenderaan, dengan SUV Outlander sahaja menyumbang lebih 105,000 unit. Namun, keunggulan itu tidak bertahan lama. Menjelang tahun 2022, jualan tahunan menjunam kepada hanya 33,600 unit berikutan kebangkitan jenama tempatan yang menawarkan EV berteknologi tinggi pada harga lebih kompetitif.
Dari aspek kewangan, GAC Mitsubishi turut mengalami kemerosotan. Laporan pendedahan GAC pada 2023 menunjukkan bahawa sehingga 31 Mac tahun tersebut, syarikat memiliki aset bernilai 4.198 bilion yuan (sekitar RM2.73 bilion), tetapi menanggung liabiliti sebanyak 5.613 bilion yuan (sekitar RM3.65 bilion), menjadikan nilai bersih negatif mencecah 1.414 bilion yuan (sekitar RM92 juta). Pada Oktober 2023, Mitsubishi mengumumkan secara rasmi penamatan pengeluaran kenderaan di China dan menyatakan rancangan penstrukturan semula operasinya di negara tersebut.
Susulan pengunduran Mitsubishi, GAC mengambil alih sepenuhnya operasi usaha sama itu dan menukar kemudahan pengeluarannya untuk pengeluaran model baharu di bawah jenama EV miliknya, Aion. Kilang yang telah ditukar suai itu dijangka memulakan pengeluaran besar-besaran menjelang Jun 2024.
Keputusan Mitsubishi ini mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapi oleh pembuat kereta asing dalam pasaran EV China yang sangat kompetitif. Jenama tempatan seperti BYD kini mendahului bukan sahaja dari segi bahagian pasaran, malah turut membentuk persepsi pengguna. Sebaliknya, pengeluar global bergelut untuk menyesuaikan strategi mereka dengan kadar elektrifikasi yang pesat. Malah, beberapa usaha sama terkenal seperti GAC-FCA turut mengalami nasib yang sama dan runtuh di bawah tekanan perubahan pasaran serta strategi yang tidak selari.
Penganalisis automotif China, Chen Liwei, dalam kenyataannya kepada portal Jiemian News, menyifatkan pengunduran Mitsubishi sebagai simbol kepada gelombang perubahan yang lebih besar. Beliau menyatakan bahawa industri automotif China kini menjadi medan ujian utama bagi inovasi kenderaan elektrik, meninggalkan pengeluar legasi di belakang ketika pemain domestik menguasai perlumbaan teknologi dan pasaran.
Pemergian Mitsubishi bukan sekadar menutup tirai bagi satu era penting dalam sejarah automotif China, malah ia juga mengesahkan kedudukan dominan pengeluar tempatan dalam membentuk masa depan industri automotif yang berasaskan elektrik.

