Piston.my

Proton Tubuhkan Syarikat Eksport Untuk Terus Meluaskan Jejak Global

Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), sebuah anak syarikat milik penuh yang ditubuhkan untuk menerajui usaha  memperluas pasaran luar negara. Penubuhan ini bertujuan untuk memberikan lebih fleksibiliti dalam menguruskan  pasaran antarabangsa. Dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu ini ialah Encik Edmund Lim Meng  Thong, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton. 

Dengan jualan eksport dikenali sebagai faktor utama pertumbuhan jualan masa hadapan, PICSB dipertanggungjawabkan untuk meluaskan jejak global Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara Selatan Global di samping  terus menyelia dan membangunkan usaha jualan serta pemasaran di pasaran luar negara sedia ada.

Model-model  Proton kini mendahului jumlah eksport kenderaan di Malaysia dan perancangan jangka panjang syarikat menetapkan peningkatan sepuluh kali ganda dalam jumlah eksport dalam tempoh lima tahun akan datang. Turut hadir dalam  mesyuarat lembaga pengarah pertama yang diadakan pada 14 Julai ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li  Chunrong bersama Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Encik Ainol Azmil dan Ketua Pegawai  Kewangan, Pn. Chen Limin. 

Megah Mewakili Produk Buatan Malaysia Di Persada Global 

Setelah memulakan eksport ke Bangladesh pada tahun 1986, hanya setahun selepas kereta pertama dihasilkan,  Proton dengan pantas meluaskan jejak global. Menjelang tahun 1992, Proton telah menjadi francais kereta baharu  paling pesat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit. Menjelang awal tahun 2000-an, model model Proton telah berada di 64 buah negara di seluruh dunia. Proton secara strategik mengalihkan tumpuan  kepada pasaran serantau berpertumbuhan tinggi seperti ASEAN, China, India, Timur Tengah, dan Afrika Utara. 

Pada tahun 2025, Proton kekal komited untuk meluaskan kehadiran globalnya dengan memperkenalkan model dan  teknologi baharu ke pasaran antarabangsa. Setakat tahun ini, Proton telah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19  buah negara sejak 2020, menjadikannya pengeksport kenderaan terkemuka dari Malaysia. 

Proton e.MAS 7 Mencipta Nama Dalam Jualan Eksport 

Tiga model Proton yang paling tinggi unit eksport sejak 2020 adalah Proton Saga dengan 10,998 unit, Proton X50  dengan 3,986 unit, dan Proton X70 dengan 3,316 unit. Walau bagaimanapun, Proton e.MAS 7 telah mendapat sambutan  hangat, melonjak ke tempat ketiga dalam jualan eksport tahun ini. Sejak aktiviti eksport bermula ke Nepal dan Trinidad &  Tobago, sebanyak 233 unit telah dihantar dan pada Disember 2024, model ini telah mengekalkan jualan kukuh dengan  916 unit terjual pada Mei untuk pasaran domestik dan antarabangsa, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD)  sebanyak 3,632 unit. 

Selain angka jualan individu, pasukan jualan antarabangsa telah giat berusaha sejak awal tahun 2025. Pada Februari,  Proton Saga yang dipasang secara tempatan telah dilancarkan di Mesir bersama pengedar tempatan Ezz Elarab Group. Manakala, Proton e.MAS 7 membuat penampilan sulung antarabangsa di Nepal pada bulan berikutnya, diikuti dengan  pengenalannya di Trinidad & Tobago pada Jun. Singapura pula akan menjadi destinasi seterusnya susulan tayangan  khas awal SUV segmen C baharu ini di The Car Expo 2025 pada Mei Ini merupakan penanda aras bagi kehadiran semula  Proton di negara tersebut, selepas berehat dari pasaran itu selama lebih sedekad.

Proton International Corp Sasarkan Jualan 6,000 Unit Pada 2025 Dan Gandakan Angka Tersebut Pada 2026

Beroperasi sebagai anak syarikat milik penuh Proton, cawangan antarabangsa ini menyasarkan jualan eksport  sebanyak 6,000 unit tahun ini, dengan sasaran untuk menggandakan angka tersebut tahun depan dan melebihi sepuluh  kali ganda jumlah itu menjelang 2030. Pada masa ini, Proton mengeksport ke 19 buah negara, termasuk Brunei, Fiji,  Papua New Guinea, Trinidad & Tobago, Singapura, Bermuda, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Mauritius, Sri Lanka, Mesir,  Iraq, Ghana, Angola, Kenya, Afrika Selatan, Mozambique, dan Zimbabwe. 

“Pendaftaran rasmi Proton International Corporation Sdn Bhd menandakan detik penting, mengukuhkan tumpuan dan  meningkatkan ketangkasan kami untuk mendorong perluasan global. Kami menetapkan sasaran yang tinggi untuk  beberapa tahun akan datang. Untuk mencapai sasaran itu, kami sedang giat mengambil lebih ramai tenaga kerja untuk  pasukan jualan dan pemasaran serantau kami. Kami juga teruja dengan kemajuan yang dicapai di Automotive High Tech  Valley (AHTV), yang akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang  semakin meningkat,” kata Encik Edmund Lim Meng Thong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation  Sdn Bhd.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan