Piston.my

Aisyah: VR Bahasa Melayu Pertama Di Dunia Pada Proton X50 Serba Baharu

Proton dengan bangganya  mengumumkan integrasi fungsi Pengecaman Suara (VR) Bahasa Melayu pada Proton X50 Serba Baharu yang baru sahaja dilancarkan. Inovasi ini tiba tujuh tahun selepas Proton memperkenalkan sistem VR “Hi Proton” dalam Bahasa  Inggeris ke pasaran Malaysia. Ciri unik dalam industri automotif ini secara signifikan meningkatkan kemudahan, akses  yang lebih mudah, dan keselamatan, sambil pada masa yang sama menyediakan sistem kawalan yang amat intuitif  untuk ramai pemandu Malaysia. 

Di teras kecanggihan Proton X50 Serba Baharu adalah paparan infotainmen 14.6 inci yang canggih, dilengkapi  dengan fungsi VR Bahasa Melayu yang lancar dan sokongan Bahasa Inggeris sedia ada. Keupayaan dwi-bahasa ini  jelas meletakkan Proton sebagai pengeluar kereta pertama yang menawarkan fungsi arahan suara sedemikian maju.  

‘Aisyah’ Nama Yang Dipilih Untuk Pengecaman Suara Bahasa Melayu Pertama Di Dunia

Diberi nama Aisyah – sebuah figura wanita yang menarik dan mesra, direka untuk dirasai seperti rakan atau ahli keluarga  – sistem VR ini dibangunkan dalam tempoh hanya tujuh bulan, tempoh yang lebih singkat daripada perancangan awal  projek selama setahun. Pembangunan yang berlangsung dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 ini melibatkan pengumpulan  4,000 variasi arahan Bahasa Melayu, dan sepanjang tempoh yang sama, 4,000 variasi arahan Bahasa Inggeris turut  dikumpul. 

Lebih 336,000 jam kerja telah diperuntukkan dengan kerjasama bersama ACO Tech, sebuah syarikat usahasama dengan  Proton yang mengkhusus dalam penyelesaian mobiliti pintar, untuk menjayakan sistem VR Bahasa Melayu ini. Lebih  200 sampel Bahasa Malaysia standard, dibahagikan antara penutur lelaki dan wanita, telah direkodkan dengan teliti bagi  memastikan ketepatan merentasi pelbagai frasa, termasuk variasi bahasa semula jadi seperti “buka tingkap” dan  “bukakan tingkap.” 

Sistem VR Proton Yang Telah Diperkenalkan Tujuh Tahun Lalu Menjadi Keperluan Harian Pemandu 

Kisah Proton dengan teknologi VR bermula sejak tahun 2018, apabila sistem infotainmen berasaskan Geely Smart  Ecosystem (GKUI) diperkenalkan dalam Proton X70 yang pertama. Empat tahun kemudian, pada 2022, langkah  Proton ke hadapan terus diperkukuhkan dengan Proton X50, yang menjadi kenderaan terhubung pertama di  Malaysia yang dilengkapi unit kepala infotainmen (IHU) bersama ATLAS (ACO Tech Local Automotive Services) OS dan  sistem VR tempatan, dioptimumkan untuk Bahasa Inggeris di Malaysia.

Sistem arahan suara “Hi Proton” ini membolehkan  pengguna mengawal pelbagai fungsi kenderaan, daripada mendail telefon, radio, muzik, dan navigasi, hingga  mengendalikan tingkap, bumbung suria, dan pendingin hawa. Lebih utama, ciri ini memastikan pemandu dapat melakukan  tugas-tugas mudah seperti membuka tingkap atau melaraskan suhu tanpa perlu melepaskan tangan dari stereng atau  mengalih pandangan dari jalan raya, sekali gus meningkatkan keselamatan pemanduan dengan jelas. 

Hari ini, kemudahan arahan suara dalam kenderaan Proton sedia ada terbukti dengan kekerapan penggunaannya.  Sebagai contoh, data Proton bagi Jun 2025 menunjukkan “Hello” sebagai perkataan yang paling kerap diucapkan  dengan 43,896 arahan direkodkan. Ini diikuti oleh pertanyaan yang bermula dengan perkataan “What” – seperti “What is the weather like today” – dan “Call” dengan masing-masing 40,779 dan 24,647 arahan. Jumlah transaksi pada bulan Jun mencapai 2.8 juta dengan 228,046 pengguna aktif. 

Peningkatan Sistem Arahan Suara Lebih Pintar Melalui Kemas Kini OTA 

Penambahbaikan masa hadapan sistem VR akan diterima melalui kemas kini Over-The-Air (OTA). Sistem awan VR ini  akan mengemas kini dan mengembangkan perbendaharaan katanya secara automatik untuk memahami lebih banyak  arahan dengan bijak seperti “Saya nak lihat langit” untuk membuka bumbung suria, sekaligus menawarkan pengalaman  yang sentiasa berkembang dan lebih pintar kepada pemandu. Walaupun pada masa ini dioptimumkan untuk suara  wanita, pasukan Proton sedang membangunkan pengecaman suara lelaki dan meneroka integrasi bahasa dan  dialek lain untuk iterasi akan datang.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan