Proton memulakan penghantaran model terbaharunya, Proton X50, kepada pelanggan di seluruh negara selepas pelancaran rasminya pada 24 Julai. Dalam tempoh hanya lima hari bekerja, sebanyak 999 unit telah berjaya diserahkan, memastikan pelanggan awal diberi ganjaran atas sokongan mereka sebelum harga didedahkan. Sebanyak 2,000 unit juga telah siap dipasang di kilang Proton di Tanjong Malim pada akhir bulan Julai dan jumlah ini dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat bagi memastikan permintaan tinggi dapat dipenuhi dan tempoh menunggu bagi pelanggan kekal minimum.
“Pelancaran Proton X50 serba baharu mengikut urutan yang dirancang dengan teliti di mana publisiti dipertingkatkan dalam beberapa siri pengaktifan. Kami menerima sokongan yang luar biasa daripada bakal pembeli kereta yang kagum dengan ciri-ciri yang ditawarkan dan hasilnya, kami memperoleh 5,000 tempahan dalam masa 10 hari sebelum harga didedahkan, dan kini kami telah menerima tempahan secara kumulatif sebanyak 8,000 unit.
Dengan lebih 140,000 unit terjual sejak pelancarannya pada Oktober 2020, Proton X50 merupakan SUV segmen B paling popular di Malaysia. Proton berhasrat untuk mengukuhkan lagi kejayaan ini dengan meluaskan daya tarikan produknya. Bagi mendekati segmen pasaran yang lebih muda, Proton telah menjalin kerjasama dengan artis dan pempengaruh tempatan untuk pelancaran X50 baharu dan telah menghasilkan sebuah lagu istimewa bersama kumpulan nyanyian De Fam yang dipersembahkan secara langsung, di samping melancarkan video muziknya di majlis pelancaran.
Selain itu, Proton turut bekerjasama dengan Anugerah Melodi Terhangat (AMT), sebuah majlis anugerah tahunan di mana penonton mengundi untuk artis kegemaran mereka. Acara kemuncak akan berlangsung pada hari Ahad, 3 Ogos, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di mana pemenang anugerah utama Anugerah Pilihan Proton X50 Superstar akan membawa pulang sebuah Proton X50 serba baharu.
Dengan gaya reka bentuk baharu pada bahagian dalaman dan luaran, teknologi ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf, enjin serba baharu, sistem IHU yang dipertingkatkan dengan skrin bersaiz 14.6 inci, dan buat pertama kali, pengecaman suara dalam Bahasa Melayu, Proton X50 didatangkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship. Dikuasakan oleh enjin baharu i-GT 1.5 TD yang digandingkan dengan transmisi DCT 7-kelajuan, ia menghasilkan 181PS dan 290Nm tork serta mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 7.6 saat, sambil menjanjikan peningkatan kecekapan sebanyak 4.7%.
Harga Atas Jalan tanpa insurans adalah RM89,800 untuk varian Executive, RM101,800 untuk Premium dan RM113,300 untuk Flagship, masing-masing. Di samping itu, Tawaran Gempak! yang berupa rebat tunai sebanyak RM4,000 turut ditawarkan kepada 10,000 pembeli pertama.

