Adrian Mardell, individu yang bertanggungjawab dalam proses penjenamaan semula Jaguar Land Rover kepada JLR, telah mengumumkan persaraannya selepas lebih tiga dekad bersama syarikat itu. Keputusan beliau untuk berundur daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif hadir pada waktu yang mencabar buat JLR, yang kini bergelut dengan perubahan dinamik pasaran, kelewatan pelancaran model baharu dan ketidakpastian hala tuju masa hadapan.
Mardell menyertai syarikat itu pada tahun 1990, memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan pada 2018, sebelum dinaikkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2023. Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau telah melaksanakan penstrukturan semula yang signifikan, termasuk memisahkan Range Rover, Defender dan Discovery sebagai sub-jenama tersendiri. Langkah strategik ini telah membantu mengembalikan keuntungan JLR selepas tempoh getir semasa pandemik Covid-19.
Namun kini, tatkala beliau meninggalkan organisasi, JLR masih belum menamakan pengganti rasmi. Syarikat itu pula berdepan pelbagai cabaran besar, terutama dalam usahanya beralih kepada mobiliti elektrik dan memperkukuh kedudukan dalam pasaran global.
Jenama Jaguar sedang melalui transformasi besar dalam usaha melancarkan semula identitinya sebagai pembuat kereta elektrik mewah. Model elektrik baharu Jaguar dijangka ditawarkan pada harga melebihi USD100,000 (lebih RM470,000), namun kempen pemasaran awal tidak mencapai impak yang diharapkan. Terdapat juga keraguan dalam kalangan penganalisis mengenai kemampuan Jaguar untuk bersaing dalam segmen kenderaan elektrik (EV) mewah yang semakin sengit.
Sebaliknya, jenama Land Rover terus menunjukkan prestasi kukuh, dengan model seperti Range Rover dan Defender terus mencatat permintaan tinggi. Walau bagaimanapun, pelancaran Range Rover elektrik pertama telah ditangguhkan ke tahun 2026, dipercayai akibat prospek permintaan pasaran yang tidak menentu.
JLR turut berdepan cabaran dari sudut perdagangan antarabangsa. Kenderaan buatan UK dikenakan cukai import sebanyak 10% apabila dieksport ke Amerika Syarikat. Lebih membimbangkan, model Defender dan Discovery yang dihasilkan di Slovakia tertakluk kepada tarif yang lebih tinggi iaitu 15%, satu halangan besar bagi jualan dan keuntungan JLR di pasaran utama seperti AS.
Walaupun Adrian Mardell telah berjaya mengemudi syarikat keluar dari fasa ketidaktentuan dan memulakan penjenamaan semula yang berani, legasi yang ditinggalkannya menuntut kesinambungan dan arah strategik yang jelas. Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu bakal mewarisi tanggungjawab yang mencabar, terutama dalam mempercepat peralihan JLR ke arah elektrifikasi dan mengekalkan daya saing dalam pasaran automotif global yang semakin kompetitif.

