Piston.my

Honda Rayakan 60 Tahun Kemenangan F1 Pertama dengan Model Eksklusif RA272

Honda memperingati ulang tahun ke-60 kemenangan pertamanya dalam Formula 1 dengan menghasilkan replika edisi terhad kereta perlumbaan legenda RA272, melalui kerjasama dengan pembuat model mewah terkenal, Amalgam.

Sebanyak 30 unit model berskala besar 1:8 akan dihasilkan, masing-masing berharga sekitar USD 28,995 (anggaran RM135,000). Versi lebih kecil berskala 1:18 pula terhad kepada 300 unit, dengan harga USD 1,735 (sekitar RM8,000). Kedua-duanya direka sebagai barangan koleksi mewah yang penuh perincian, khusus untuk peminat dan pengumpul serius—bukan sekadar model mainan.

Model ini dicipta bagi memperingati kemenangan bersejarah di Grand Prix Mexico 1965, apabila pelumba Richie Ginther memandu RA272 ke garisan penamat, sekali gus mencatat kemenangan pertama Honda dalam Formula 1. Ia juga menjadi kemenangan pertama buat mana-mana kereta, enjin dan pasukan dari Jepun. Lebih mengagumkan, kejayaan ini hadir hanya dua tahun selepas Honda memulakan pengeluaran keretanya.

Setiap replika mempunyai lebih 1,600 komponen, lengkap dengan sijil ketulenan bertandatangan dan buku peringatan khas daripada Presiden Honda Racing Corporation, Koji Watanabe. Proses menghasilkan model skala 1:8 memerlukan kira-kira 4,500 jam untuk penyediaan acuan dan 450 jam lagi bagi membina setiap unit. Reka bentuknya dihasilkan berdasarkan imbasan digital RA272 sebenar di Dewan Koleksi Honda, disertai ratusan foto arkib.

RA272 asal merupakan jentera luar biasa pada eranya, dipacu oleh enjin V12 1.5 liter yang mampu menghasilkan 230hp dan mencapai sehingga 12,000 rpm. Dalam musim keduanya di Formula 1, Honda membuktikan keupayaannya bersaing di pentas tertinggi sukan permotoran—dan kini legasi itu diabadikan melalui model koleksi eksklusif yang amat bernilai ini.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan