Proton telah memulakan separuh kedua tahun ini dengan prestasi yang kukuh apabila jualan kereta di Malaysia kembali melonjak selepas prestasi kurang memberangsangkan pada bulan Jun. Jualan keseluruhan syarikat pada bulan ini adalah 13,518 unit, peningkatan sebanyak 22.1% berbanding bulan sebelumnya. Pencapaian ini mendorong jualan tahun hingga kini (YTD) kepada 85,674 unit untuk tujuh bulan pertama 2025, sekaligus mengukuhkan posisinya di tangga kedua dalam kedudukan jualan nasional.
Pegangan pasaran bagi bulan ini dianggarkan sebanyak 19.2%, dengan angka pegangan pasaran YTD semasa sebanyak 19.3%. Ini merupakan peningkatan 0.6% berbanding keseluruhan tahun 2024, yang mencatat 18.7% untuk setahun penuh apabila jualan kereta Malaysia mencapai tahap jualan tertinggi baharu. Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk Julai dianggarkan pada 70,545 unit, peningkatan sebanyak 28.7% berbanding bulan Jun dan merupakan angka jualan bulanan kedua tertinggi untuk tahun 2025.
Dilancarkan pada 24 Julai, Proton X50 Serba Baharu merupakan pemacu peningkatan volum yang utama bagi syarikat pada bulan lalu. Dengan 999 unit diserahkan dalam tujuh hari terakhir pada bulan tersebut, ia mengakhiri Julai dengan jumlah jualan melebihi 2,000 unit buat kali ketiga pada tahun 2025 dan mencapai angka 2,068 unit.
Dengan menampilkan reka bentuk luaran baharu, bahagian dalaman yang ditingkatkan, ciri-ciri pintar baharu, dan memanfaatkan kempen pemasaran yang menyasarkan pembeli yang lebih muda dalam pasaran SUV segmen B ini telah menarik banyak perhatian di media sosial dan di bilik pameran. Dengan unjuran jumlah pengeluaran mencecah 5,000 unit menjelang akhir bulan ini dan jumlah tempahan menghampiri lima angka, angka jualan pada bulan Ogos dijangkakan akan lebih baik.
Sementara itu, Proton X90 dan Proton S70 meneruskan prestasi jualan kukuh untuk SUV segmen D dan sedan segmen C. Proton X90 merekodkan sebanyak jualan 229 unit manakala Proton S70 terus melebihi jangkaan dengan 1,404 unit dijual pada bulan Julai, menjadikan jumlah volum YTD berada pada tahap 10,750 unit.
Selain Proton X50 serba baharu, Proton Saga turut mendapat perhatian ramai di media sosial baru-baru ini sempena ulang tahun ke-40 model tersebut pada 9 Julai. Permintaan untuk varian putih koleksi Hot Wheels, yang dikeluarkan ekoran kejayaan model merah asal, amat kukuh sehingga peminat berlumba-lumba mencari unit di seluruh negara.
Situasi yang serupa dicerminkan untuk jualan pada bulan Julai apabila 6,638 unit Proton Saga terjual, hasil terbaik setakat ini untuk model tersebut pada tahun 2025. Pencapaian ini telah melonjakkan jualan YTD kepada 38,345 unit pada tahun ini, sekali lagi membuktikan bahawa gabungan reka bentuk, ciri-ciri, keselamatan dan nilai berjaya memenangi hati pelanggan sedan segmen A.
Model Proton dengan peningkatan jualan terbaik tahun ini ialah Proton X70. Meskipun menghadapi kemunculan pelbagai pesaing baharu, SUV segmen C ini mencatat angka peningkatan jualan YTD sebanyak 51.7% selepas 617 unit ditambah pada Julai, menjadikan jualan YTD kepada 4,971 unit. Manakala dua model ICE, Proton Persona dan Proton Iriz, masing masing merekod sebanyak 1,499 unit, prestasi terbaiknya pada tahun 2025, dan 329 unit pada Julai.
“Selepas prestasi kurang memberangsangkan pada bulan Jun, jualan model Proton meningkat hampir 2,500 unit atau 22.1% pada bulan Julai, memberikan syarikat permulaan yang hebat bagi separuh kedua tahun 2025. Pengenalan Proton X50 serba baharu telah memberi tumpuan kepada seluruh rangkaian produk kami dan Proton berhasrat untuk mengekalkan momentum peningkatan ini dengan lebih banyak memperkenalkan model baharu serta pameran teknologi di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 dalam lima bulan terakhir tahun ini,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) menandakan hasrat Proton untuk menajamkan fokusnya pada jualan eksport. Jumlah jualan eksport YTD kini adalah 2,258 unit, 44.1% lebih banyak daripada tahun 2024 dengan Proton X50 mengatasi Proton Saga sebagai model eksport paling popular.
Ketiga dalam senarai model eksport ialah Proton e.MAS 7 dan dengan 20 unit lagi dieksport pada Julai, volum eksport YTDnya kini berada pada 270 unit. Manakala Julai menyaksikan 706 unit lagi (termasuk eksport) dijual menjadikan jumlah jualan YTD kepada 4,959 unit, dan mengukuhkan posisinya sebagai tawaran EV paling popular di negara ini.


